Thursday, June 30, 2022

FORUM PRODUKTIVITI & DAYA SAING: MEMBINA BUDAYA PRODUKTIVITI DAN KESEJAHTERAAN

SHAH ALAM, 27 Jun (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan mengadakan sebuah forum atas talian yang bertajuk Produktiviti & Daya Saing: “Membina Budaya Produktiviti dan Kesejahteraan”. Forum ini bertujuan untuk membentuk minda produktif dalam kalangan generasi muda dalam usaha membudayakan produktiviti ke arah negara yang berdaya saing dan sejahtera.

Forum ini akan disiarkan secara langsung menerusi aplikasi Zoom dan Facebook Live pada 28 Jun 2022 bermula 10.00 pagi hingga 12.00 tengahari. Pautan kod QR bagi forum ini telah dilampirkan di laman Facebook, Instagram, dan Twitter rasmi MPC.
 
Penasihat Projek Tahun Akhir Perhubungan Awam, Encik Abuzar Abdul Halim berkata  penganjuran itu mensasarkan lebih 500 peserta yang terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi awam dan swasta, serta orang awam.
 
Katanya, peserta juga berpeluang untuk bersoal jawab serta menyertai kuiz bertemakan budaya produktiviti yang bakal menawarkan hadiah menarik buat pemenang bertuah.
 
“Kolaborasi pelajar Perhubungan Awam Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bersama MPC bertujuan untuk menyebarluaskan budaya produktiviti dalam kalangan generasi muda. Selain itu, pelajar turut menghasilkan wawancara mingguan yang bertajuk Sinoptik dan dimuat naik ke media sosial MPC, dimana mereka akan turun kelapangan untuk menemu bual orang awam bagi mendapatkan respon berkenaan isu-isu semasa. Usaha ini dapat membantu mereka meningkatkan produktiviti para peniaga dan orang awam untuk membudayakan produktiviti dalam masa yang sama mengasah bakat para pelajar melalui aktiviti perhubungan awam,” katanya.

Panel jemputan bagi forum ini terdiri daripada YBhg. Dato’ Dr. Shakir Husein Khalid iaitu Pengarah Urusan, Shamawar Group Sdn. Bhd, YBrs. Prof. Dr. Balakrishnan Parasuraman iaitu Profesor Pengurusan Sumber Manusia & Program Hubungan Industri, Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBrs. Dr. Suhaimee Saahar @ Saabar iaitu Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam dan tetamu undangan khas iaitu En. Ahmad Arman Al Huzaifi Bin Shakir Husein, iaitu penerima biasiswa Rhodes ke Universiti Oxford. Panelis-panelis ini akan menyentuh tentang amalan produktiviti ke arah kesejahteraan dalam kalangan generasi muda seiring dengan lima prinsip asas produktiviti yang digariskan dalam Indeks Budaya Produktiviti Sejahtera iaitu Nilai (Values), Intelek (Intellect), Keturunan (Progeny), Sumber (Resources) dan Cara Hidup (Way of Life). 

No comments:

Post a Comment