Monday, April 11, 2016

1,000 Pelajar Dari 16 Sekolah Hilir Perak Sertai Bengkel Mini KLESF

TELUK INTAN, 2 April (Bernama) -- Kira-kira 1,000 pelajar dari 16 buah sekolah menengah di Hilir Perak terlibat dalam Bengkel Mini Kuala Lumpur Engineering Science Fair (KLESF) di sini hari ini.

Bengkel dua hari di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak di sini merupakan program julung kali diadakan di luar ibu negara dan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Dalam ucapannya, Mah menyambut baik penganjuran program tersebut dan menganggapnya sebagai pelaburan yang amat bermakna untuk penduduk tempatan lebih-lebih lagi ia diadakan di kawasan luar dari ibu kota.

Menurutnya transformasi sains merupakan strategi 'game-changer' dalam menjana kekayaan baharu dan pekerjaan berkemahiran tinggi untuk masa depan kerana ketika ini hanya 20 peratus pelajar didapati cenderung menceburi bidang sains, kejuruteraan, teknologi dan matematik (STEM).

"Kementerian Pendidikan telah menyasarkan peningkatan pelajar aliran sains kepada 60 peratus manakala aliran sastera sebanyak 40 peratus menjelang 2020 tetapi jumlah itu belum tercapai.

"Ini memerlukan usaha yang berterusan dan diharapkan penganjuran bengkel sebegini ke seluruh negara pada masa akan datang mampu mempromosikan bidang sains dan teknologi ini agar tambah minat lebih banyak pelajar untuk mengikutinya," katanya.

Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Hilir Perak, Sulaiman Samsudin dan Pengerusi bersama KLESF, Datuk Ir Hong Lee Pee.

Bengkel mini KLESF ini merupakan salah satu usaha perkongsian kerajaan dan swasta yang melibatkan kerajaan pusat dan negeri serta pihak industri dan akademik bagi menaik taraf penguasaan sains dan memperkasakan sains dan teknologi di negara ini terutama dalam kalangan pelajar luar bandar.

Kira-kira 40 sesi bengkel pelbagai acara pembelajaran dalam bidang STEM dipertunjukkan kepada pelajar seperti bengkel quadcopter, simulator penerbangan, pembinaan jambatan dan sebagainya.

Ia merupakan program usahasama anjuran bersama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT), PPD Hilir Perak, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR), Petrosains, Innopeak, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment