Friday, April 8, 2016

KER1M MAHU PENGUATKUASAAN PENGGUNAAN TALI PINGGANG KELEDAR DIPERKETAT

PUTRAJAYA, 7 April (Bernama) -- Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1Malaysia (KER1M) mahu penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar diperketatkan bagi mengurangkan risiko kematian pengguna jalan raya.

Pengerusi KER1M Datuk Ranjith Raja berkata ini adalah kerana kesedaran orang ramai terhadap risiko pemanduan tanpa memakai tali pinggang keleder masih berada pada tahap rendah.

"Hasil kajian menunjukkan tahap kesedaran, sikap dan pematuhan kepada undang-undang pemasangan tali pinggang keledar depan dan juga penumpang belakang di negara ini masih tidak memuaskan," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Beliau berkata KER1M telah mengadakan perbincangan dengan agensi-agensi berkaitan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan memberi cadangan memastikan penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar diperketatkan, selain tali pinggang keledar penumpang belakang diwajibkan.

Beliau menegaskan pemandu wajib memastikan setiap penumpang yang berada di dalam kenderaan mereka memakai tali pinggang keledar sebelum memulakan perjalanan

Ibu bapa juga harus menyediakan kerusi khas kanak-kanak serta mengaplikasikan fungsi butang kunci keselamatan kanak-kanak bagi mengelakkan risiko kematian sekiranya berlaku kemalangan, katanya.

Ranjith berkata KER1M bercadang mengadakan kursus dan kempen keselamatan jalan raya agar pemandu sentiasa berada dalam keadaan peka, mengikut garis panduan, merujuk petua keselamatan agar tidak berlaku kecuaian.

"Keselamatan adalah keutamaan yang tiada kompromi. Sikap kita yang meremehkan pemakaian tali pinggang kelendar, memandu melebihi had laju, menjawab panggilan ketika memandu, tidak memeriksa kenderaan secara berkala, memandu di bawah pengaruh alkohol dan kecuaian lain merupakan punca kemalangan berlaku," katanya.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment