Thursday, April 21, 2016

PELUANG BERTEMU GURU HR DAVE ULRICH DI KUALA LUMPUR PADA 31 MEI

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) — Orang ramai berpeluang untuk bertemu dan menambah pengetahuan tentang peranan sumber manusia (HR) dengan menyertai program sehari bersama guru HR terkemuka dunia Prof Dr Dave Ulrich di sini, bulan depan.
Menurut kenyataan organisasi pembangunan modal insan tempatan, K-Pintar Sdn Bhd, berkata program itu yang dianjurkan dengan sokongan Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diadakan pada 31 Mei di The Majestic Hotel Kuala Lumpur.
Sesi itu akan menampilkan pandangan Dr Ulrich tentang bagaimana usaha memajukan amalan HR boleh menyunmbang secara langsung kepada potensi pertumbuhan dan pendapatan sesebuah organisasi dengan berkesan.
Melalui topik ‘The Next New Thing: How HR Creates Value from Outside In’ guru PR kelahiran Amerika Syarikat itu akan menjawab soalan berkaitan bidang berkenaan bagi membantu peserta membina perspektif, menyampaikan hasil dan memperkasakan transformasi dalam organisasi masing-masing.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif K-Pintar, RA Thiagaraja berkata program itu diharapkan dapat menarik pemimpin yang disegani untuk berkongsi trend dan amalan baik terkini bagi mewujudkan pembangunan profesional secara berterusan.
“Komitmen kami dalam pembangunan modal insan melampaui usaha menggilap kembali dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja Malaysia secara umum,” katanya.
Maklumat lanjut tentang program ini boleh diperoleh di http://www.kpintaracademy.com
--BERNAMA

No comments:

Post a Comment