Saturday, May 29, 2021

PERKHIDMATAN AWAM BERFOKUSKAN PRODUKTIVITI MEMBANTU MENINGKATKAN DAYA SAING NEGARA

PETALING JAYA, 28 Mei (Bernama) -- Penjawat awam disarankan agar terus kekal relevan dan tingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan agar lebih produktif dan berdaya saing menepati dengan tema sambutan Hari Pekerja “Pengoptimum Sumber, Perkasa Daya Saing Organisasi” oleh Jabatan Perkhidmatan Awam baru - baru ini.

Menurut YBhg. Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam jumlah penjawat awam seramai 1.523 juta memberi pelbagai persepsi kepada rakyat bahawa populasi penjawat awam semakin meningkat berbanding perkhidmatan yang diberikan.

Beliau turut menegaskan, persepsi orang ramai terhadap penjawat yang tidak memuaskan mengenai perkhidmatan yang lambat, banyak masa berehat dan jumlah populasi yang besar ini perlu diperbaiki.

“Bagi memastikan perkhidmatan awam terus kekal relevan dan sebagai tunjang utama jentera pembangunan negara maju berpendapatan tinggi kita perlu mengambil langkah mengoptimumkan sumber dan mengawal perbelanjaan kerajaan dengan berfokuskan kepada produktiviti. Selaras dengan Blueprint Produktiviti Malaysia yang memfokuskan produktiviti sebagai sumber pertumbuhan produktiviti negara, peningkatan produktiviti adalah perlu dalam perkhidmatan awam. Kenaikan produktiviti boleh diukur berasaskan Total Factor Productivity (TFP) iaitu hasil daripada penggunaan input faktor yang bertambah baik berikutan daripada kemajuan teknologi dan kecekapan ekonomi secara keseluruhan,” kata beliau.

Selain dari itu, perkhidmatan awam juga perlu sentiasa menambaik beberapa aspek lain seperti proses kerja termasuk SOP bagi memastikan ia memenuhi keperluan semasa, kualiti perkhidmatan, struktur perjawatan, proses kerja dan tingkatkan kreativiti.

Saranan KPPA adalah bertepatan dengan inisiatif yang digariskan di bawah Blueprint Produktiviti Malaysia dalam usaha melonjakkan produktiviti negara berasaskan lima teras utama iaitu pembangunan bakat dan skil, memacu transformasi inovasi dan teknologi, pengurusan struktur insentif, mewujudkan ekosistem yang kondusif dan pengukuhan mekanisme governans yang mantap. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) sebagai agensi sektor awam bertindak sebagai pemudahcara di kalangan pemain industri dan sektor awam memastikan isu serta cabaran diketengahkan dan dibincangkan melalui platfom jaringan kerjasama sektor awam dan swasta memacu produktiviti di peringkat nasional, industri dan perusahaan negara.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia, YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman, “Blueprint Produktiviti Malaysia (MPB) yang dilancarkan pada 8 Mei 2017 telah menggariskan inisiatif untuk meningkatkan produktiviti negara daripada inisiatif yang diterajui oleh Kerajaan kepada inisiatif yang diterajui oleh pemain industri. Nexus Produktiviti Sektor yang terdiri daripada 9 sektor ekonomi telah mengenal pasti produktiviti sebagai salah satu daripada enam pemacu perubahan yang akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan ketara dan mampan”.

Dalam konteks mengoptimumkan sumber dan memperkasakan daya saing organisasi tidak kira di sektor awam mahu pun swasta, MPC sentiasa mengintegrasi budaya peningkatan produktiviti merentasi pelbagai peringkat sektor agar pencapaian output dihasilkan pada tahap maksimum secara holistik dan lebih berkesan.

“MPC turut mempamerkan kejayaan hasil kerjasama agensi swasta dan kerajaan terutama sekali dalam usaha meningkatkan produktiviti dan daya saing negara. Di antaranya apabila kerajaan mula memperkenalkan program bagi menangani peraturan tidak produktif serta membebankan yang sering kali menjadi penghalang kepada pemulihan, peningkatan dan pertumbuhan perniagaan seperti inisiatif #MyMudah. Inovasi yang diperkenalkan ini memberi kemudahan kepada para peniaga untuk mendaftarkan isu secara atas talian melalui portal Unified Public Consultation (UPC). MPC juga turut menggunakan pendekatan Behavioral Insights (BI) dalam memperkenalkan serta memupuk kesedaran mengenai polisi kerajaan yang memberi kemudahan dan kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhan”.

“Selain dari itu, MPC membimbing sektor perniagaan agar mengurangkan kos pembaziran melalui pelaksanaan inisiatif dalam program produktiviti yang meningkatkan keupayaan dan ekonomi melalui Skim Peningkatan Produktiviti Enterpris (SPPE). Organisasi juga perlu tahu bahawa setiap penjimatan yang mereka berjaya hasilkan akan memberi pulangan yang besar dan dapat memberi value added atau pulangan yang dikongsikan bersama kakitangan mereka. Usaha ini dikenali sebagai Shared Prosperity di mana ianya dapat meningkatkan produktiviti dan dayasaing dalam jangkamasa yang panjang atau sustainable” kata beliau.  

YBhg. Dato’ Abdul Latif Haji Abu Seman berkata inisiatif– inisiatif berkenaan akan sentiasa dipergiat bagi membantu usahawan tempatan terutama bagi meningkatkan produktiviti serta mewujudkan ekosistem perniagaan yang lebih berkesan dan mampan.  Beliau berkata misi MPC sebagai agensi kerajaan yang memacu produktiviti dan sebagai penggerak daya saing ke arah mencapai kecemerlangan dan sebagai sumber pertumbuhan semula ekonomi.

Sumber: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) 


http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14588

No comments:

Post a Comment