Friday, May 21, 2021

UMW HOLDINGS MELANGSUNGKAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN YANG KE-39 SECARA MAYA; MEMPERKENALKAN KERANGKA STRATEGIK YANG BARU UNTUK TERUS KEKAL MEMBERIKAN NILAI JANGKA MASA PANJANG YANG BAIK

- Bahagian pasaran automotif bagi Kumpulan meningkat kepada 52.8% pada tahun 2020.
- Mencapai pengurangan kos Kumpulan secara menyeluruh sebanyak RM134 juta pada tahun 2020.
- Memperkenalkan kerangka strategik pada Januari 2021 untuk meneroka peluang di dalam bidang mobiliti dan seangkatan dengannya.
 
KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Agung Tahunan (“AGM”) UMW Holdings Berhad yang ke-39 telah dilangsungkan secara maya disebabkan oleh pandemik COVID-19.  Kumpulan telah mengulas pencapaian utamanya pada tahun 2020 serta mengemukakan rancangannya bagi tahun 2021 dan seterusnya, melalui kerangka strategik yang baru untuk mengukuhkan lagi perniagaan Kumpulan dan terus kekal memberikan nilai yang baik pada jangka masa panjang kepada pihak yang berkepentingan.
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Holdings Berhad, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali berkata,“Pada tahun 2020, walaupun berhadapan dengan persekitaran operasi yang mencabar disebabkan oleh pandemik COVID-19, kami telah membuktikan bahawa Kumpulan dapat kembali pulih dan masih dapat memberikan hasil yang kukuh untuk mempertingkatkan nilai yang baik.  Kumpulan terus menguasai industri automotif tempatan, dengan jumlah bahagian pasaran sebanyak 52.8% pada tahun 2020, tertinggi dalam sejarah.  Selain itu, usaha pengoptimuman kos berjaya menghasilkan penurunan sebanyak RM134 juta pada tahun 2020 dan Kumpulan akan terus kekal menjalankan inisiatif penjimatan kos melalui penambahbaikan proses perniagaan secara berterusan.  Secara keseluruhan, prestasi Kumpulan melangkaui jangkaan dimana ia didorong oleh pengecualian cukai penjualan di bawah pakej rangsangan yang diberikan oleh kerajaan."
 
Bagi segmen Automotif, UMW Toyota Motor (“UMWT”) dan Perodua telah berjaya mencatatkan penjualan melebihi sasaran yang telah disemak semula untuk tahun 2020 walaupun terdapat gangguan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19.  Bagi tahun 2021, UMWT menetapkan sasaran jualan sebanyak 62,000 unit, 4.5% lebih tinggi daripada 59,320 unit yang dijual tahun sebelumnya.   Perodua pula mensasarkan penjualan sebanyak 240,000 unit tahun ini, 9% lebih tinggi daripada 220,163 unit penjualan yang dicatatkan pada tahun 2020.  Model baru dilancarkan, pengecualian cukai penjualan sehingga 30 Jun 2021 dan persekitaran yang berkadar faedah yang rendah dijangkakan dapat meningkatkan permintaan dan penjualan.
 
Segmen Jentera terus mempelbagaikan tawaran keseluruhan produknya dengan kemasukan penjana industri Kohler untuk beberapa pasaran pada tahun 2020.  Di samping itu, ia juga dilantik sebagai pengedar pilihan untuk robot kolaboratif (Cobot) oleh pembuat robot terkemuka Denmark, Universal Robots A/S dan dengan itu memperluaskan tawaran produknya dalam automasi dan robotik.  Sebagai sebahagian daripada usaha digitalisasi segmen, aplikasi e-CARA, aplikasi semua-dalam-satu untuk penyelesaian dan perkhidmatan forklift telah dilancarkan.  Sub-segmen Jentera Industri akan terus maju dengan penawaran  urusan penyewaan yang fleksibel  serta pemfokusan pada automasi dan digitalisasi. Sementara itu, sub-segmen Jentera Berat akan bekerjasama dengan prinsipalnya untuk mendapatkan perniagaan baru di Malaysia dan juga operasinya di luar negara.  Kegiatan ekonomi yang bertambah baik juga diharapkan dapat meningkatkan permintaan Jentera.
 
Segmen Pembuatan dan Kejuruteraan berjaya membesarkan dan memodenkan kilang Kayaba pada tahun 2020, yang memberikan kapasiti tambahan sebanyak 20% dan mempunyai kemampuan IR4.0.  Sementara itu, UMW Aerospace telah memulakan proses pengeluaran selongsong kipas untuk enjin Trent 7000 yang digunakan dalam pesawat Airbus A330neo dan membuat penghantaran perdana pada Oktober 2020.
 
Segmen ini dijangka dapat memperoleh keuntungan dari peningkatan penjualan produk komponen automatiknya seiring dengan peningkatan kapasiti kilangnya. Sub-segmen pelincir akan diperluaskan dalam pasaran komersial dan perindustrian yang dijangkakan akan menghadapi peningkatan permintaan terutamanya dari rantau ASEAN.  Walaupun sektor penerbangan agak mencabar, UMW Aerospace masih menjangkakan untuk menerima tempahan dari Rolls-Royce sementara menunggu industri penerbangan beransur pulih.
 
Kumpulan juga terus fokus untuk merealisasikan nilai tanah simpanan yang telah lama dipegang di Serendah. Dibangunkan sebagai UMW High Value Manufacturing Park, ia merupakan taman perindustrian yang terurus dan berpagar. Pembangunan ini menawarkan pelabur untuk membuka ruang kilang yang bersesuaian dengan sektor berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, automotif, FMCG dan sektor industri dan komersial lain.  Operasi tertentu UMW di Shah Alam juga akan dipindahkan ke Serendah pada akhir tahun depan.
 
Dato’ Fuaad menambah lagi,“ Pada Januari tahun ini, kami telah memperkenalkan kerangka strategik CREST @ 2021.  Inisiatif ini akan mendorong aspirasi kami untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ada di bidang mobiliti dan seangkatan dengannya di dalam perniagaan Kumpulan.  Saya teruja dengan prospek kami dimana CREST @ 2021 dijadikan sebagai kerangka strategik yang baru bagi Kumpulan UMW untuk meningkatkan pertumbuhan lestari Kumpulan pada masa hadapan.”


Mengenai UMW

Kumpulan UMW merupakan syarikat konglomerat bertaraf antarabangsa yang memajukan dan menyokong pertumbuhan industri serta melibatkan diri dalam pelbagai usaha sama. Kumpulan UMW memberi tumpuan kepada empat segmen perniagaan teras - Automotif, Jentera, Pembuatan & Kejuruteraan dan Aeroangkasa.  Ia kini beroperasi di 8 buah negara dengan jumlah kakitangan melebihi 7,000 orang.

UMW bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk masa hadapan industri - dengan menginspirasikan idea, meningkatkan potensi, memupuk usaha sama dan membentuk kecemerlangan untuk menyumbang kepada kemajuan dan kesejahteraan semua pihak yang berkepentingan.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14557

No comments:

Post a Comment