Thursday, December 8, 2022

"MELAKAR HALUAN BAGI KEMAKMURAN BERSAMA MENERUSI KETERANGKUMAN" MEMPROMOSI PERNIAGAAN INKLUSIF DI RANTAU APEC

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi SME Corp. Malaysia telah menganjurkan “APEC Workshop on Inclusive Business: Charting the Path for Shared Prosperity through Inclusivity” dari 29 - 30 November 2022 secara dalam talian. Bengkel ini bertujuan mempromosikan Perniagaan Inklusif (IB) sebagai kerangka perniagaan mampan yang akan memacu dan membangunkan semula ekonomi pasca COVID-19 dalam kalangan anggota ekonomi APEC.

Dalam ucaptama yang disampaikan oleh YBhg. Dato’ Suriani Binti Dato’ Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyatakan, “Agenda pembangunan PMKS diberi keutamaan tinggi dalam APEC, seperti yang ditunjukkan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC ke-29 yang diadakan baru-baru ini di Thailand. Deklarasi Pemimpin 2022 yang diterbitkan mengesahkan komitmen Pemimpin APEC untuk menggalakkan pertumbuhan yang kukuh, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif”.

Menurut beliau, “Bengkel Perniagaan Inklusif (IB) ini seiring dan menyumbang kepada salah satu pemacu ekonomi APEC iaitu "Pertumbuhan Kukuh, Seimbang, Selamat, Mampan dan Inklusif" yang merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi memastikan rantau Asia-Pasifik berdaya tahan terhadap kejutan, krisis, wabak dan kecemasan lain”.

“Kerajaan Malaysia mempromosikan IB sebagai satu pendekatan untuk menangani keperluan kumpulan B40 secara berskala. IB juga telah digariskan sebagai strategi untuk menggalakkan golongan B40, PMKS dan Perusahaan Sosial mengambil bahagian dalam rantaian bekalan syarikat.”, ujar beliau lagi. 

No comments:

Post a Comment