Thursday, December 15, 2022

MYMUDAH: BENARKAH PROSEDUR PENGINAPAN PEKERJA ASING RUMIT?




CAMERON HIGHLANDS, 14 Dis (Bernama) -- Bengkel penambahbaikan prosedur penginapan pekerja asing dalam sektor Agro-Makanan buat julung kali telah dianjurkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Pantai Timur. Bengkel ini bertujuan untuk melihat sejauh mana tahap kerumitan prosedur dalam mendapatkan kelulusan penginapan pekerja asing. Bengkel ini juga mengenal pasti di mana beberapa peraturan berkaitan penginapan pekerja asing ini memerlukan kelulusan daripada pelbagai agensi teknikal. Pendekatan teknologi dan digital juga diteliti alternatif bagi memudahkan urusan perniagaan.

Perbincangan dipergiatkan lagi dengan perkongsian dari wakil pemain industri dan pengawal selia mengenai cabaran mendapatkan dan meluluskan permit/lesen penginapan pekerja asing. Encik Wong Seng Yee, wakil pengeluar bunga dan sayur-sayuran menyatakan masalah utama adalah berkaitan dengan proses mendapatkan Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) penginapan pekerja asing daripada Pihak Berkuasa Tempatan dan agensi teknikal adalah rumit dan memerlukan masa yang lama. Beliau berharap dengan kolaborasi awam-swasta ini akan membolehkan prosedur itu diperjelaskan menggunakan pendekatan peraturan tangkas supaya ianya menjadi lebih mesra perniagaan pada masa hadapan.
 
Dengan mengambil semangat MyMudah, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) komited untuk membantu pemain industri mematuhi peraturan tersebut dengan cara yang lebih mudah. Menurut MDCH, garis panduan yang tidak jelas dan pelbagai dengan tafsiran berbeza menyukarkan perniagaan untuk memperoleh kelulusan. MDCH, JTKSM bersama-sama agensi teknikal lain komited untuk menyelaraskan prosedur dan memastikan proses baharu menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan memudahcara perniagaan.
 
Bengkel ini telah melibatkan pelbagai agensi dari kedua-dua pihak  awam dan swasta. Antara yang hadir adalah Persatuan Pengusaha Bunga, Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH), Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), TNB, IWK, Pengurusan Air Pahang (PAIP), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Jabatan Kerajaan Tempatan (Putrajaya), Pejabat Tanah dan Galian, Plan Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands, Pahang Corporation, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Bahagian Kerajaan Tempatan, Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan Jabatan Pertanian (DOA). MPC berfungsi sebagai pemangkin dalam menghubungkan antara sektor awam dan swasta.

SUMBER: Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

No comments:

Post a Comment