Thursday, December 1, 2022

PENERIMAGUNAAN TEKNOLOGI ASAS TINGKAT 50% KECEKAPAN PROSES DALAM OPERASI INDUSTRI PERHOTELAN

 PETALING JAYA, 30 Nov (Bernama) -- Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan memperkenalkan program Produktiviti Untuk Semua untuk industri perhotelan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti organisasi dan industri.

Program ini mengenalpasti ruang penambahbaikan dalam amalan pengurusan hotel dan mencadangkan intervensi yang bersesuaian. MPC memudahcara dalam melaksanakan cadangan intervensi penambahbaikan dengan sokongan penuh pihak pengurusan dan pekerja organisasi yang terpilih.

Projek rintis program Produktiviti Untuk Semua dilaksanakan dengan Rompin Beach Resort bagi mengenalpasti intervensi peningkatan produktiviti yang besesuaian dengan penginapan pelancongan bertaraf hotel bajet. Hasil projek rintis ini menunjukkan bahawa penerimagunaan teknologi asas, mudah dan murah mampu meningkatkan kecekapan operasi dengan kadar 50%.

Antaranya, waktu menunggu tetamu ketika daftar masuk dan keluar berjaya dikurangkan dengan kadar 88%. Impak besar dapat dilihat untuk proses daftar masuk di mana masa urusan berkurangan kepada hanya 1.35 minit berbanding 11.8 minit sebelum intervensi dilaksanakan.

Bagi memastikan amalan berterusan intervensi, MPC menggunapakai kaedah
 Behavioural Insights (BI). Dapatan projek rintis dengan Rompin Beach Resort dikongsi dengan penginapan pelancongan lain bagi menggalakkan lebih banyak hotel bajet menerimaguna teknologi dan digitalisasi walaupun hanya di peringkat asas.

Ketua Pengarah MPC, Dato’ Abdul Latif bin Haji Seman berkata, “Asas program Produktiviti Untuk Semua ialah setiap organisasi dan industri mempunyai amalan pengurusan dan operasi yang berbeza, begitu juga dengan isu dan cabaran yang dihadapi. Oleh itu, intervensi peningkatan produktiviti hendaklah disesuaikan dengan ruang penambahbaikan yang dikenalpasti. Program ini memastikan setiap intervensi adalah “
fit for purpose”. MPC percaya bahawa setiap intenvensi melalui penerimagunaan teknologi dan digitalisasi, walaupun kecil dan hanya pada peringkat asas, boleh meningkatkan kecekapan operasi”.

“Intervensi yang dicadangkan juga perlu melihat kepada faktor-faktor penting dalam organisasi dan industri itu sendiri. Antaranya keupayaan kewangan, kesediaan pihak pengurusan tertinggi dan pekerja, penggunaan sumber dan keadaan infrastruktur sedia ada. Paling utama, intervensi yang dicadangkan tidak seharusnya meningkatkan kos menjalankan perniagaan dan tidak membebankan pekerja dan pelanggan. Ia hendaklah mudah, cepat, dan murah untuk dilaksanakan secara berterusan”.

“Tumpuan juga diberikan dalam memupuk minda produktif di kalangan pekerja. Ramai yang masih tidak jelas mengenai apakah produktiviti di tempat kerja. Program ini memberi kesedaran dan kefahaman mengenai produktiviti dengan merujuk kepada rutin harian pekerja dan bagaimana rutin ini boleh menjadi lebih berkesan melalui sedikit perubahan”, jelas Dato’ Abdul Latif. 

Mengenai  Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) adalah badan berkanun di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). MPC menggalakkan produktiviti, kualiti dan daya saing kepada industri dan organisasi di Malaysia. Visi MPC adalah menjadi organisasi terkemuka dalam peningkatan produktiviti untuk daya saing global dan inovasi.
 
SUMBER : Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16575

No comments:

Post a Comment