Wednesday, November 9, 2022

PROGRAM USAHAWAN MUDA 2022 SSM PERINGKAT DAERAH KAPIT DAN SONG, TARIK MINAT PELAJAR CEBURI BIDANG KEUSAHAWANAN

SONG, 8 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini menganjurkan Program Usahawan Muda 2022 (PUM22) Peringkat Daerah Kapit dan Song, Sarawak, yang telah menarik seramai lebih 50 penyertaan melibatkan pelajar dari SMK Song.
 
Program yang dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ini, bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan sesebuah perniagaan, menyemai minat dan menerapkan nilai-nilai keusahawanan dalam diri peserta. 
 
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Sri Alexander memaklumkan bahawa PUM22 merupakan program khas yang dianjurkan bagi memberi kefahaman berkaitan tatacara serta perundangan yang dikawal selia SSM berhubung keperluan dan faedah mendaftarkan perniagaan serta pemasaran digital.
 
Beliau berkata bagi tahun 2022, SSM mensasarkan pelaksanaan sebanyak enam PUM22 di mana tiga daripadanya telah dilaksanakan secara dalam talian manakala tiga lagi dianjurkan secara fizikal di Negeri Sembilan, Sarawak dan Pantai Timur melibatkan negeri Terengganu dan Kelantan.  
 
Semasa program berlangsung, SSM menyampaikan agihan Wakalah Zakat Korporat SSM kepada Masjid Nurul Islam Song dan sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) SSM kepada Kelab Tingkatan Enam SMK Song, Pertubuhan Sukarelawan Kebajikan Kapit serta Pertubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas Song. Agihan keseluruhan yang disampaikan berjumlah RM20,000.
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.
 
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 8 NOVEMBER 2022 

SUMBER: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16492

No comments:

Post a Comment