Tuesday, November 1, 2022

SAMBUTAN HARI INTEGRITI SSM SEMARAKKAN NILAI INTEGRITI WARGA KERJA

 


KUCHING, 1 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 31 Oktober 2022 telah menganjurkan majlis sambutan Hari Integriti SSM 2022 bagi menunjukkan komitmen SSM untuk membudaya dan menyemarakkan nilai integriti dalam kalangan warga kerjanya.

 
Majlis yang dianjurkan di pejabat SSM Negeri Sarawak telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM. Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Nor Azimah berkata, penganjuran majlis ini adalah salah satu inisiatif SSM ke arah memartabatkan amalan integriti yang menjurus kepada sikap jujur dan patuh terhadap prinsip nilai moral serta etika yang kuat.
 
Tambah beliau, integriti di kalangan warga SSM adalah amat penting memandangkan setiap warga SSM diperlukan untuk bertindak secara beramanah kepada kuasa dan tugasnya, telus, tulus, tiada konflik peribadi, mempunyai akauntabiliti dan patuh kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
 
Pada sambutan Hari Integriti SSM 2022 ini, Datuk Nor Azimah juga telah merasmikan Majlis Pelancaran Ke Arah Pensijilan MS ISO 37001:2016 Anti-Bribery Management Systems (ABMS). Pensijilan ABMS adalah piawaian antarabangsa yang menetapkan syarat dan memberikan panduan kepada sesebuah organisasi untuk mewujud, melaksana, memantau, mengkaji dan menambah baik sistem serta proses bagi membantu untuk mengelak, mengesan dan bertindak dengan cepat terhadap perlakuan rasuah selain mempromosi budaya berintegriti, telus dan pematuhan kepada undang-undang.
 
Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh Penolong Pesuruhjaya (PPj), YBrs. Tuan Othman Anyan, Ketua Cawangan Unit Pemeriksaan dan Perundingan SPRM Sarawak dan YBrs. Tuan Wan Mohamad Wan Drahman, Ketua Penolong Pengarah, Unit Integriti dan Ombudsman Negeri Sarawak (UNIONS).
 
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau emel kepada enquiry@ssm.com.my.
 
DIKELUARKAN OLEH: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA
TARIKH: 31 OKTOBER 2022

SUMBER: SURUHANJAYA SYARIKAT MALAYSIA

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=16469

No comments:

Post a Comment