Thursday, November 10, 2022

PUTRA BUSINESS SCHOOL RAIH TIGA ANUGERAH FELO DARIPADA INSTITUTE OF MARKETING MALAYSIA

SERDANG, 10 Nov (Bernama) -- YBhg. Profesor Dr. Azmawani Abd Rahman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Putra Business School (PBS), meraih Anugerah Felo (Fellowship Award) di Majlis Graduasi Certified Professional Marketer, CPM (Asia) yang dianjurkan oleh Institute of Marketing Malaysia (IMM) pada 6 November 2022 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur. Turut menerima Anugerah Felo daripada PBS ialah YH. Dato’ Profesor Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga merupakan ahli lembaga pengarah Yayasan Putra Business School dan Pengerusi Lembaga Pengelola PBS, dan YBhg. Dato’ Seri Rosman Mohamed yang merupakan Professor of Practice PBS dan ahli lembaga pengarah Boustead, Ni Hsin, EcoWorld, Cisco Security dan Khind Berhad.
 
Majlis yang gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh tujuh belas (17) penerima Anugerah Felo yang terdiri daripada beberapa Naib Canselor universiti ternama dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat korporat.
 
PBS adalah institusi yang terbanyak menerima anugerah Felo dan juga mempunyai pelajar yang paling ramai, iaitu seramai 53 pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) yang berjaya mendapat CPM (Asia) daripada Asia Marketing Federation (AMF). Semua pelajar tersebut merupakan kumpulan pelajar bagi kemasukan untuk April 2019 hingga April 2022. Seramai tiga orang pensyarah PBS dan dua orang staf dari Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Korporat PBS turut berjaya mendapat CPM (Asia). Setiap tahun terdapat dua kali pengambilan pelajar untuk program CPM (Asia) yang dikendalikan oleh IMM. IMM adalah badan professional bertujuan meningkatkan imej serta profesion pengamal pemasaran di Malaysia. PBS telah menjalin kerjasama dengan IMM sejak tahun 2016 dengan menawarkan program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) yang turut menawarkan program CPM (Asia).

PUTRA BUSINESS SCHOOL RAIH TIGA ANUGERAH FELO DARIPADA INSTITUTE OF MARKETING MALAYSIA

No comments:

Post a Comment