Friday, January 27, 2017

PBS Tandatangani MoA Bersama MIHRM Perkenal Sarjana Pengurusan Potensi Insan

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Sekolah Perniagaan Putra (PBS) menandatangani memorandum persetujuan (MoA) bersama Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM) bagi memupuk nilai urus tadbir insan di kalangan pemimpin masa depan dengan memperkenalkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dalam Pengurusan Potensi Insan.

PBS dalam kenyataannya hari ini berkata program MBA itu adalah bagi memenuhi keperluan pengurusan atasan, yang memberi tumpuan kepada kemahiran pengurusan potensi insan dan kepimpinan.

"Kerjasama bersama MIHRM ini adalah penting untuk mencapai objektif PBS dalam melahirkan pemimpin insani," katanya.

MoA tersebut ditandatangani oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBS Prof Dr Zulkornain Yusop dan Timbalan Presiden MIHRM, Dr Henry Yeoh di Sekolah Perniagaan Putra, Universiti Putra Malaysia, Serdang semalam.

Menurut kenyataan tersebut, PBS merupakan antara sekolah perniagaan elit di rfantau ini yang mendapat pengiktirafan Association to Advance Collegiate Schools of Business (AACSB).

AACSB merupakan badan global yang ditubuhkan pada 1916, menawarkan akreditasi berprestij yang paling diiktiraf di seluruh dunia kepada universiti atau kolej yang menawarkan ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah dalam bidang perniagaan dan perakaunan.

-- BERNAMA


No comments:

Post a Comment