Friday, January 27, 2017

Skim Thohir Realisasikan Impian Pasangan Suami Isteri Untuk Berumrah

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Impian sepasang suami untuk ke tanah suci menjadi kenyataan selepas diumumkan pemenang hadiah utama Kempen Skim Thohir 2016 anjuran Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), di sini hari ini.

Aduni Ambar @ Ahmad, 49, yang memenangi pakej umrah untuk dua orang, berkata beliau sangat bertuah kerana dapat mengerjakan umrah bersama suaminya.

Katanya beliau menyertai kempen itu untuk menunaikan tanggungjawab sebagai umat Islam dalam berzakat tanpa memikirkan ganjaran.

"Saya tidak sangka boleh menang hadiah utama ini, syukur kepada Allah impian saya untuk ke tanah suci juga bakal tercapai," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Zulkifli Samsudin, 43, yang diumumkan pemenang kedua pula membawa pulang pakej percutian bernilai RM5,000 dan pemenang tempat ketiga Hasnah Mohamad, 56, menerima sebuah televisyen bernilai RM3,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Mohd Rais Alias berkata kempen yang pertama kali dianjurkan tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada pembayar zakat.

"Kami akan meneruskan kempen ini dengan mempergiatkan penyertaan pembayar zakat dan turun padang bertemu mereka, memberi pemahaman zakat kepada umum serta membuka kaunter pertanyaan yang boleh dibuat secara terus dengan pegawai zakat yang ada," katanya.

Skim Thohir atau Skim Potongan Gaji Zakat Dalam Talian Melalui Kod itu bertujuan meningkatkan jumlah kutipan dan pembayar zakat pendapatan.

Kempen tiga bulan bermula Oktober tahun lalu itu berjaya menarik penyertaan 2,143 pembayar zakat.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment