Sunday, January 22, 2017

Tesco M'sia Kumpul Makanan Untuk Golongan Kurang Bernasib Baik


KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Orang ramai kini boleh menyumbang makanan keperluan untuk golongan kurang bernasib baik sempena sambutan Tahun Baharu Cina di lapan cawangan Tesco Stores terpilih di Lembah Klang melalui kempen 'Festive Food Collection' dari 20 hingga 27 Jan.


Dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation, melalui kempen itu, pelanggan Tesco akan menderma barangan makanan seperti minyak masak, beras, makanan dalam tin, biskut dan makanan kering ke dalam tong yang telah dikhususkan.

Pengarah Perkhidmatan Korporat Tesco Malaysia Azliza Baizura Azmel berkata lapan Tesco yang menyertai kempen itu ialah Tesco Kepong, Tesco Ampang, Tesco Extra Selayang, Tesco Extra Mutiara Damansara, Tesco Ara Damansara, Tesco Shah Alam, Tesco Extra Cheras dan Tesco Extra Shah Alam.

"Kami menyasarkan untuk mengumpul 10 tan barangan makanan keperluan yang akan diserahkan kepada Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation untuk diedarkan kepada lebih 100 rumah kebajikan dan Soup Kitchens.

"Kerjasama antara Tesco Malaysia dan rakan kongsi bank makanan adalah sangat positif kerana kami dapat menyalurkan kepada komuniti yang memerlukan terutama semasa musim perayaan," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran acara itu di sini hari ini.

Beliau berkata barangan makanan itu akan dikutip daripada tong selepas 5 petang setiap hari.

Pada Oktober 2016, Tesco Malaysia melancarkan program 'Food Surplus Donation' yang menyaksikan 34 tan lebihan makanan dari Tesco Stores telah disumbangkan kepada Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment