Saturday, July 14, 2018

AMERIKA UTARA, AFRIKA RANTAU PALING DIYAKINI DARI SEGI EKONOMI

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) – Momentum pemulihan  ekonomi global yang bermula pada akhir 2016 kini dilaporkan semakin terjejas dengan keyakinan global dalam suku kedua  2018 terus perlahan berbanding peningkatan yang dicapai pada suku pertama.

Perspektif itu adalah hasil dapatan kaji selidik terbaharu Keadaan Ekonomi Global oleh Persatuan Akauntan-Akauntan Bertauliah (ACCA) dan Institut Pengurusan Akauntan (IMA).

Walaupun ini masih dianggap tinggi berdasarkan standard sedia ada, namun sebarang penurunan kecil dalam keyakinan itu jelas menggambarkan meningkatnya kebimbangan terhadap impak perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China.

Malah, keadaan itu terus menjejaskan prospek atau unjuran global dengan sentimen ekonomi China mencatat penurunan dengan sebegitu ketara.

Namun di sebalik senario itu, Amerika Utara kekal sebagai rantau paling diyakini di dunia dalam suku kedua 2018 dengan data-data rasmi menunjukkan langkah potongan cukai secara besar-besaran pada awal tahun terbukti menyumbang dari segi peningkatan penggunaan di AS.

Afrika pula muncul rantau kedua paling diyakini dengan prospek optimis seperti Amerika Utara.

Kedua-dua rantau itu juga  menyaksikan lebih ramai individu yang mengharapkan keadaan akan kembali pulih berbanding mereka yang berpandangan sebaliknya.

Amerika Selatan dan Amerika Tengah pula menjadi rantau yang paling kurang diyakini dalam kaji selidik berkenaan.

Gambaran  untuk United Kingdom (UK) adalah jauh berbeza di mana keyakinan terhadap ekonomi merudum pada suku kedua dengan angkanya berada jauh di bawah purata sejarah atau yang pernah dicatatkan sebelum ini.

Dapatan ini selari dengan data keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkini yang menunjukkan ekonomi negara itu berkembang hanya 0.2 peratus pada suku pertama 2018.

Ia juga membawa bersama tanda-tanda kebimbangan bahawa UK kini bergelut untuk mencapai persetujuan dengan lain-lain negara Kesatuan Eropah berhubung terma pengundurannya daripada gagasan itu.

Ketua Wawasan Perniagaan ACCA, Narayanan Vaidyanathan berkata: “Penurunan bersih tahap keyakinan global itu jelas mencerminkan faktor seperti kebimbangan terhadap perang perdagangan AS-China adalah lebih ketara berbanding mengimbangi faktor-faktor lain seperti jumlah pekerjaan yang rendah dan pemotongan  cukai di AS.

“Penurunan ini dilihat di kedua-dua negara Pertubuhan Bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dan bukan OECD, walaupun keyakinan terhadap kedua-dua kumpulan secara perbandingan adalah tinggi menurut piawaian sejarah,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan dan Polisi IMA yang juga Profesor Dalaman, Raef Lawson berkata: “Analisis suku kedua kami mencerminkan data lain bahawa pemulihan ekonomi global mulai perlahan sejak awal tahun ini. 

“Bagaimanapun, keyakinan itu masih tinggi mengikut standard-standard sebelumnya dan penurunan yang mendadak dari segi pertumbuhan ekonomi tidak mungkin dicapai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.”

Menurutnya, terdapat perbezaan yang ketara antara rantau dan negara dengan kebimbangan mengenai perang perdagangan AS-China semakin meningkat.

Beliau juga menyifatkan tempoh ini sebagai masa yang tidak menentu dan keputusan pada suku tahun ketiga akan banyak dipengaruhi oleh keputusan yang dibuat di Rumah Putih mengenai tarif.

Melihat ke hadapan, penyelidikan ACCA dan IMA menunjukkan unjuran bagi ekonomi global kekal positif walaupun terdapat petunjuk bahawa pertumbuhan ekonomi di beberapa bahagian utama ekonomi dunia perlahan sejak pertumbuhan mencapai paras tertinggi pada separuh kedua 2017.

Laporan itu menunjukkan walaupun ekonomi global dijangka kekal kukuh pada tahun depan, ia turut dijangka mencatat kelembapan yang sederhana.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment