Monday, July 16, 2018

Wakaf Selangor Muamalat rancang bina sekolah di Shah Alam

Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad (Gambar fail Bernama)


KLANG, 16 Julai (Bernama) -- Wakaf Selangor Muamalat (WSM) merancang untuk membina sebuah sekolah di Shah Alam bertujuan melahirkan lebih ramai pemimpin Islam yang berkaliber.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama WSM, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad berkata idea penubuhan sekolah berkenaan telah mendapat perkenan daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan kerajaan negeri Selangor.

"Lokasi sekolah ini sudah dikenalpasti. Dianggarkan kos pembinaan akan menelan belanja kira-kira RM36 juta dan kami telah pun mendapat sumbangan daripada syarikat berkaitan kerajaan dan badan-badan berkanun lain sebanyak RM19 juta.

"Prasarananya telah kami fikirkan secara mendalam tetapi untuk kurikulum sekolah ini, kami masih mengkaji dan mencari kurikulum yang sempurna untuk melahirkan pemimpin-pemimpin Islam yang berkaliber, yang menjadikan Al-Quran sebagai panduan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Sumbangan 20 unit komputer bernilai RM39,000 kepada Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Tengku Ampuan Fatimah Batu Belah dan Maahad Hafiz Sungai Pinang, Klang.

Turut hadir Guru Besar SRAI Tengku Ampuan Fatimah, Rosidi Hussain dan Maahad Hafiz Sungai Pinang, Muhamad Firdaus Muhamad Haneefa.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata sekolah berkenaan akan memberi penekanan terhadap pembelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

"Pada peringkat awal kita sasar pengambilan sebanyak 500 pelajar di mana mereka ini perlu menghafaz dua juzuk Al-Quran setahun semasa belajar di sini," katanya.

Mengulas mengenai sumbangan itu, Abdul Rahman berkata WSM menerima permohonan daripada dua sekolah agama berkenaan untuk menambah unit komputer di sekolah masing-masing.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya bersetuju menyumbang 10 unit komputer bagi setiap sekolah selepas melihat prestasi pelajar dan kemampuan tenaga pengajar dalam mengendalikan komputer.

"Sumbangan juga diberikan kerana komputer merupakan peralatan penting bagi tujuan pendidikan selaras dengan kepesatan teknologi pada masa kini.

"Diharap para pelajar dan guru dapat manfaatkan komputer yang disumbangkan bagi melahirkan lebih ramai pelajar sekolah agama yang cerdik teknologi," tambah beliau.

WSM merupakan perkhidmatan berasaskan konsep wakaf oleh Bank Muamalat Malaysia Bhd yang direka khas untuk memberi kemudahan kepada pelanggan bank berkenaan dan orang ramai untuk berwakaf.

-- BERNAMA 

No comments:

Post a Comment