Monday, July 30, 2018

Skills Johor, PSDC meterai MoU untuk latihan industri 4.0

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Hab Latihan Teknik dan Vokasional (TVET) Skills Johor memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Pulau Pinang (PSDC), untuk bekerjasama mempertingkat kemahiran bakat tempatan dan menyediakan latihan berkaitan rantaian nilai Industri 4.0.

Usaha sama strategik tersebut melibatkan pelantikan para profesional PSDC untuk berkongsi pengetahuan industri dengan petugas Skills Johor.

Satu jawatankuasa akan dilantik untuk mewakili kedua-dua pihak bagi membincang dan menggubal program teknikal yang didorong oleh industri baru, termasuk program kemahiran vokasional dan kemahiran insani serta meneroka cara merapatkan jurang kemahiran yang wujud dalam pasaran.

MoU yang ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Skills Johor, Datuk Omar Shariff Mydeen dan Ketua Pegawai Eksekutif PSDC, Muhamed Ali Hajah Mydin, disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yew.

Omar Shariff berkata kerjasama dengan PSDC selaku pakar TVET terkemuka dalam Industri 4.0 akan membolehkan Skills Johor memainkan peranan yang lebih besar dalam menyediakan latihan berkaitan subjek tersebut.

"Industri 4.0 sedang mengubah cara kita hidup, bekerja, bermain dan berkomunikasi.

"Oleh itu, adalah penting untuk menyediakan tenaga kerja di Johor, dan Malaysia amnya, sebagai persediaan untuk perubahan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Skills Johor mempunyai objektif untuk meningkatkan kebolehpasaran dan keusahawanan rakyat melalui pendidikan TVET berkualiti yang berkaitan dengan pasaran dan keperluan industri semasa serta yang baru muncul.

Ia turut berperanan sebagai platform untuk menyedia dan membangun tenaga kerja yang sesuai untuk negara.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment