Thursday, July 5, 2018

MFPC anjur program celik kewangan di Kuantan

KUALA LUMPUR, 5 Julai (Bernama) -- Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) akan menganjurkan program celik kewangan di Kuantan, Pahang, pada 7 Julai.

Acara itu adalah sebahagian daripada program celik kewangan di seluruh negara untuk membantu meningkatkan kesedaran mengenai celik kewangan, terutama dalam kalangan golongan dewasa muda.

Orang ramai boleh mendaftar untuk menghadiri sesi percuma tersebut di https://mfpc.org.my/events/money-bengkel-pengurusan-kewangan/ Presiden MFPC, Michael Kok Fook On berkata, sesi celik kewangan yang sebelum ini diadakan di pejabat agensi-agensi kerajaan dan penempatan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kini bakal dianjur di bandar-bandar utama tahun ini.

"Kami amat berminat untuk mendidik rakyat Malaysia terutamanya golongan muda tentang kepentingan pengetahuan perancangan kewangan.

"Sekiranya seseorang mempunyai pengetahuan yang mencukupi untuk menjadikan pengurusan kewangan sebahagian penting dalam kehidupan mereka dan terus berusaha meningkatkan ekonomi ke arah masa depan yang mampan, seseorang akan mempunyai kehidupan yang memuaskan dan dirancang dengan baik sepanjang hayat," kata Kok dalam satu kenyataan.

MFPC berkata golongan muda Malaysia sangat memerlukan panduan dalam menguruskan kewangan, berikutan penemuannya dalam satu kajian peringkat kebangsaan mengenai Keupayaan Kewangan dan Penggunaan Perkhidmatan Penasihat Kewangan yang telah dijalankan.

No comments:

Post a Comment