Wednesday, March 1, 2023

KISAH INDOSAT, PENGGABUNGAN PALING BERJAYA YANG MEMPERKASA INDONESIA

Vikram Sinha, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Indosat Ooredoo Hutchison (Foto: Business Wire)

BARCELONA, Sepanyol, 1 Mac (Bernama-BUSINESS WIRE)-- Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Indosat Ooredoo Hutchison (Indosat), Vikram Sinha, membincangkan kisah Indosat, penggabungan paling berjaya dilaksanakan yang memperkasa Indonesia. Indosat ialah syarikat telekomunikasi digital dan internet baharu bertaraf dunia bagi Indonesia yang terhasil daripada penggabungan Indosat Ooredoo dan Hutchison 3 Indonesia.

Semasa perbincangan meja bulat, Sinha menegaskan bahawa penggabungan syarikat telekomunikasi sering gagal atas pelbagai sebab, seperti kesukaran mengintegrasikan teknologi dan sistem berbeza, halangan peraturan dan cabaran dalam mengekalkan kakitangan dan pelanggan utama. Walau bagaimanapun, kejayaan penggabungan Indosat telah mengubah industri telekomunikasi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.

Indonesia ialah satu daripada ekonomi paling pesat berkembang di dunia dan satu daripada ekonomi digital paling terkemuka di ASEAN. Penerimagunaan digital membolehkan Indonesia menjimatkan masa untuk merealisasikan matlamat jangka panjangnya, iaitu mencapai status berpendapatan tinggi. Indosat, syarikat telekomunikasi digital dengan 100 juta pelanggan, sedang melakukan perubahan dengan pesat untuk membantu memacu revolusi digital di negara itu.

Sinha membincangkan cara penggabungan Indosat Ooredoo dan Hutchison 3 Indonesia telah melebihi semua jangkaan untuk tahun 2022, memberikan prospek positif untuk pasaran Indonesia dan peluang berkembang dalam industri telekomunikasi. Indosat mempunyai rancangan integrasi 9 suku tahun yang berterusan dan pelaksanaan sinergi gabungan berkenaan berjalan lancar dan telah disempurnakan lebih awal daripada rancangan. Melalui penggunaan teknologi Rangkaian Teras Berbilang Pengendali (MOCN), integrasi rangkaian disasarkan akan diselesaikan pada suku tahun pertama ini.

No comments:

Post a Comment