Thursday, September 28, 2023

IGEM 2023 ANJUR LEBIH 10 PERSIDANGAN KE ARAH RENDAH KARBON






KUALA LUMPUR, 27 Sept (Bernama) -- 
Dalam usaha memberi inspirasi untuk bertindak dan menggalakkan perbincangan, Persidangan Dan Pameran Teknologi Hijau serta Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2023 bakal menjadi tuan rumah kepada lebih 10 persidangan mulai 4 hingga 6 Oktober 2023 bertempat di Pusat Persidangan Kuala Lumpur. Antara topik persidangan yang dibincangkan termasuklah bandar rendah karbon, ekonomi hidrogen, pengurusan sisa, ekonomi kitaran, pemuliharaan air, kecekapan tenaga dan banyak lagi yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). 

Antara persidangan penting ialah Persidangan AtoZero ASEAN, Persidangan Kebangsaan kali pertama mengenai Kecekapan Tenaga, Forum Pasaran Karbon Malaysia 2023, Persidangan Perkongsian Logistik Hijau 2023: Memacu Kemampanan Pengangkutan & Logistik, Memacu Perkongsian Kanada-Malaysia Dalam Tenaga Bersih & Kemampanan dan Simposium Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

IGEM 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) anjuran bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) membawa tema Usaha Ke Arah Rendah Karbon: Kepimpinan Dalam Tindakan Iklim di mana persidangan yang diadakan akan dipimpin dan disertai oleh para perwakilan terkemuka daripada pelbagai organisasi seperti Business Finland, Business Sweden, Akademi Sains Malaysia dan Bursa Malaysia serta para tetamu kehormat dari pelbagai negara seperti Sweden, Austria dan Canada.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, “IGEM disertai oleh mereka yang pakar dalam teknologi hijau dan perubahan iklim. Memandang keperluan mendesak untuk memainkan peranan sebagai pemimpin dalam tindakan iklim, maka persidangan tahun ini telah disusun khusus untuk memberi tumpuan kepada sektor yang paling pesat berkembang di rantau ini seperti mobiliti elektrik dan peralihan tenaga.”

“Menerusi taklimat yang berpandangan jauh dan perbincangan panel tentang topik-topik penting dan memerlukan tindakan segera, persidangan pada IGEM 2023 akan mengumpulkan ribuan pakar antarabangsa dan juga Malaysia meliputi bidang-bidang yang berkaitan bagi membentuk dan menggalakkan pemikiran dan tindakan lestari peringkat global yang berkesan,” tambah beliau lagi. 

Antara persidangan yang dinanti-nantikan ialah Persidangan Perkongsian Logistik Hijau (GLPC). Persidangan ini merupakan kerjasama antara Kementerian Pengangkutan (MoT) dan Perkongsian Pengangkutan Jepun-ASEAN (AJTP) dan menjadi platform untuk berkongsi amalan terbaik dalam meningkatkan amalan logistik hijau di Malaysia.

Dengan membawa tema Memacu Kemampanan Pengangkutan & Logistik, GLPC akan dianjurkan bersama oleh MoT, NRECC, MGTC dan Business Sweden dengan disokong oleh rakan teknikal iaitu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan VOLVO.

Ruang pameran IGEM yang menjadi daya tarikan ramai pada tahun akan disusun berdasarkan tema-tema Memperkasakan Bandar, Mobiliti Elektrik, Tenaga Kurang Karbon, Mempercepatkan Kitaran dan Memulihara Biodiversiti. Antara peserta antarabangsa yang akan hadir ialah Arctech Solar (China), Phoenix Green Energy (Austria), International Science Council (Perancis) dan Saxon Renewable Pte Ltd (Singapura). 

IGEM 2023 yang dibawakan dengan kerjasama PETRONAS telah memperoleh penajaan daripada syarikat-syarikat terkemuka termasuk: Tenaga Nasional Berhad, Leader Energy Holdings Berhad, UOB Bank (Malaysia) Berhad, Solarvest Holdings Berhad, Samaiden Group Berhad, Cypark Resources Berhad, Polymateria Ltd, Cenergi SEA Bhd, Bio Eneco, Canadian Solar dan Lenovo.

Bagi meningkatkan lagi momentum ekonomi hijau, IGEM 2023 akan membawakan sesi pemadanan perniagaan yang ditunggu-tunggu anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan MGTC.

Untuk menyertai persidangan dalam Usaha Ke Arah Rendah Karbon, daftar sekarang dengan menghantar e-mel kepada faiz@mgtc.gov.my. Untuk maklumat lanjut tentang IGEM 2023, sila layari www.igem.my.

Tentang Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)

MGTC ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) yang diberi mandat untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, memajukan tindakan iklim dan memupuk gaya hidup hijau dalam kalangan masyarakat.

Berpandukan Dasar Teknologi Hijau Negara (NGTP), Dasar Perubahan Iklim Negara (NCCP), Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP) dan Rancangan Malaysia ke-12, MGTC menjalankan pelbagai program dan inisiatif untuk menyokong para pemegangan kepentingan di semua peringkat.

Menjelang tahun 2030 dan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan, MGTC berhasrat untuk membuat pelaburan hijau sebanyak RM100 bilion, mewujudkan sebanyak 230,000 peluang pekerjaan hijau dan membantu Malaysia mencapai pelepasan GHG sifar bersih dengan sasaran seawal tahun 2050.

SUMBER: Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC)

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17504

No comments:

Post a Comment