Saturday, September 23, 2023

KEMENTERIAN KEWANGAN (MOF) DAN LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (HASIL) SANTUNI 30 ORANG KANAK-KANAK PERTUBUHAN RUMAH AMAL CAHAYA TENGKU AMPUAN RAHIMAH SELANGOR (RACTAR)

SUBANG JAYA, 22 Sept (Bernama) -- Dalam usaha kerajaan memastikan proses Belanjawan 2024 lebih inklusif melalui penglibatan menyeluruh daripada rakyat di peringkat akar umbi, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) turut berperanan menjayakan usaha ini melalui pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bersama-sama 30 orang kanak-kanak bertempat di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah Selangor (RACTAR) bersempena dengan Program Jelajah Belanjawan 2024.

Selain berfungsi sebagai platform merealisasikan hasrat Kementerian Kewangan (MOF) bagi menjalankan program CSR kepada kumpulan sasar di negeri Selangor, ia juga bertujuan membina imej positif HASiL di samping menzahirkan keprihatinan kepada penduduk setempat yang memerlukan bantuan.

Sejumlah RM20,000.00 telah disalurkan oleh HASiL kepada RACTAR bagi tujuan penggantian serta membaik pulih bumbung rumah pertubuhan ini yang merupakan antara keperluan utama demi memastikan kebajikan serta keselesaan para penghuninya terjamin. Sumbangan ini juga meliputi perbelanjaan pengurusan harian serta kelengkapan asas bagi kanak-kanak di rumah tersebut.

YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II hadir bagi menyampaikan sumbangan dan meluangkan masa beramah mesra bersama-sama dengan kanak-kanak dan warga pengurusan rumah kebajikan ini. YB Tuan Steven dalam ucapannya berkata, program CSR ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara pihak kerajaan dengan masyarakat, malah ia merupakan komitmen berterusan pihak kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam usaha merangka satu belanjawan yang menyeluruh dan merangkumi seluruh rakyat daripada segenap lapisan.

Turut sama hadir menjayakan majlis tersebut ialah YBhg. Dato’ Shahrol Anuwar bin Sarman, Pengarah Belanjawan Negara MOF, YBrs. Puan Wan Ramiza binti Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian), YBhg. Datin Paduka Norfiah binti Syukor, Timbalan Yang Dipertua RACTAR, barisan pegawai MOF dan pegawai HASiL. Pelaksanaan program seumpama ini wajar diteruskan sejajar dengan aspirasi kerajaan MADANI dalam menerapkan budaya ihsan serta memastikan kemakmuran dan kesejahteraan negara dapat dinikmati bersama.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17490

No comments:

Post a Comment