KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) --
Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) akan menerbitkan Drama
Khas Ramadan bersempena dengan ketibaan bulan Ramadan yang mulia pada
tahun 1438/2017 ini. Drama ini mendapat penajaan daripada Muslim Care Malaysia.
Tahun
ini merupakan tahun kelima IKIMfm menerbitkan Drama Khas Ramadan yang
telah mendapat sambutan yang amat baik di kalangan para pendengar radio
IKIMfm sepanjang penerbitannya. Pada tahun lepas 2016, Drama Khas
Ramadan berjudul “Seindah Langit Ramadan”, IKIMfm telah memenangi
Anugerah Sri Angkasa untuk kategori Pelakon Drama Radio Terbaik yang
dibawakan oleh Fizz Fairuz.
Rancangan Drama Khas Ramadan “Sesuci
Tautan Ramadan” yang skripnya ditulis oleh penulis skrip drama TV
berpengalaman iaitu Puan Sharifah Faneeza Sayed Yeop ini akan disiarkan
sebanyak 20 episod bermula 29 Mei hingga 23 Jun 2017, setiap Isnin hingga Jumaat jam 4.15 petang. Ia diterbitkan oleh Puan Hajjah Nik Hasnah Ismail.
Dengan
tajuk ‘Sesuci Tautan Ramadan’, drama bersiri ini mengangkat tema
kekeluargaan dan hubungan sejagat sesama manusia. Drama ini akan
dijayakan oleh barisan pelakon profesional iaitu pelakon popular Ashraf Muslim yang memegang watak utama sebagai Amru Mirza, pelakon wanita Mardiana Alwi yang memegang watak sebagai Yasmin, dan pelakon Diana Amir sebagai Suraya, dengan turut dibantu barisan penyampai IKIMfm selaku pelakon pembantu.
Drama
ini mengisahkan tentang persahabatan dua orang wanita yang berbeza
latar belakang. Suraya berhasrat untuk berkahwin muda dengan seorang
lelaki bernama Amru Mirza, namun mendapat bantahan keras dari sahabat
karibnya Yasmin kerana menganggap lelaki tersebut bukan calon sesuai
untuk perempuan sebijak dan sebaik Suraya. Walaubagaimanapun, tidak ada
siapa yang boleh melawan takdir, akhirnya Suraya berkahwin juga dengan
Amru Mirza. Namun, jodoh mereka tidak panjang kerana sikap tidak
bertanggungjawab Amru Mirza menyebabkan mereka bercerai. Menyedari
tentang kesilapan yang pernah dilakukan, Amru Mirza bertekad untuk
berubah menjadi lelaki yang lebih baik demi anaknya bersama Suraya,
iaitu Sumayyah. Takdir telah menemukan Amru Mirza dengan Yasmin yang
menjadi ‘ibu angkat’ kepada anaknya yang ditinggalkan Suraya kerana mahu
menyambung pelajaran dan cita-citanya di luar negara. Konflik berlaku
antara mereka bertiga apabila Sumayyah menjadi taruhan ketika
masing-masing mengejar untuk membina kebahagiaan. Ikuti sejauh mana
persahabatan mereka diuji dalam konflik ini.
SUMBER : Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
No comments:
Post a Comment