KUALA KANGSAR, 2 Mei (Bernama) - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Perak akan memperhebatkan usaha meningkatkan pasaran eksport produk kraftangan termasuk labu sayong di negeri ini ke peringkat antarabangsa. Pengarahnya, Mohd Yusof Abd Rani berkata langkah itu bertujuan meningkatkan pendapatan pengusaha kraftangan di Perak terutama dalam pembuatan labu sayong tradisional dan moden serta produk lain termasuk besi dan kraf tenunan. Beliau berkata dalam memenuhi pasaran eksport tersebut, pihaknya memberi penekanan terhadap kualiti pengeluaran dan reka cipta ke arah ketahanan produk untuk memenuhi kehendak piawaian antarabangsa. "Kita akan menyertai pameran kraf di Astana, Kazakhstan dan Frankfurt di Jerman dalam mempromosi produk kraftangan labu sayong dan porselin tahun ini. "Selain itu, kita juga akan mengadakan promosi dengan kerjasama Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di dalam negara sempena Tahun Melawat Perak ," katanya pada sidang media ketika melawat ke pusat pembuat Labu Sayong di Kampung Kepala Bendang, Sayong di sini hari ini. Lawatan itu turut disertai 15 pelancong dari Tourism Malaysia Brunei, media dan Agensi Pelancongan Brunei sempena program ''Fam Trip Discover Perak World Of Wonders 2017''. Mohd Yusof berkata pihaknya telah mengeksport kira-kira 2,000 biji labu sayong ke luar negara tahun lepas. Dalam pada itu, katanya Projek Kraf Kampungku (KKK) di sini merupakan inisiatif untuk meningkatkan keupayaan dan pengukuhan usahawan melalui pembangunan produk dan meningkatkan kemahiran produktiviti. Beliau berkata pembangunan itu digarapkan melalui keunikan produk, sejarah, budaya dan identiti sesuatu tempat sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi penduduk tempatan. "Melihat kepada warisan dan kesenian yang ada di sini seperti labu sayong, produk besi, kraf tenunan dan sebagainya, kami yakin daerah ini berpotensi untuk menjadi pusat kraftangan terkemuka dan destinasi pelancongan utama di Malaysia," katanya. Menurutnya, terdapat 99 usahawan kraf seramik yang bergiat aktif di sini dengan 61 daripadanya merupakan usahawan produk labu sayong. Sementara itu, pelancong Brunei Roslinah Sabtu, 51, berkata pembuatan labu sayong di sini amat unik kerana masih menggabungkan teknik tradisional. "Budaya tradisional ini masih ada walaupun penggunaan cara moden sudah bertapak di sini," katanya yang pertama kali melawat ke pusat berkenaan. Mohd Rakin Meludin, 26, pula berkata beliau tertarik dengan teknik pembuatan labu sayong sejak dari awal hingga akhir kerana ia menarik dan unik. -- BERNAMA
Tuesday, May 2, 2017
PERBADANAN KEMAJUAN KRAFTANGAN PERAK TINGKATKAN EKSPORT PRODUK KRAFTANGAN
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment