Saturday, May 20, 2017

UTEM-INFINEON MANTAPKAN KERJASAMA TINGKATKAN KEBOLEHPASARAN SISWAZAH

KUALA LUMPUR, 16  Mei (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Infineon Technologies Sdn Bhd (Infineon)  komited dalam mengukuhkan kerjasama bagi meningkatkan lagi kebolehpasaran dan peluang pekerjaan bagi para siswazah UTeM.

Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UTeM, Prof Dr Goh Ong Sing berkata  kerjasama untuk menjadikan siswazah UTeM terus dinamik dan relevan dengan kehendak industri masa kini itu dilaksana sejak  2011 melalui Pusat Kecemerlangan Industri (I-CoE) yang mendapat sokongan penuh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

"Kerjasama ini menggandingkan UTeM dan Infineon dalam bidang pendidikan, latihan teknikal, penyelidikan, kebolehpasaran di samping peluang pekerjaan serta pelbagai aktiviti lain yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain Program Latihan Industri, turut dianjurkan ialah Minggu UTeM-Infineon, yang terbaru pada 8 dan 9 Mei lalu di Kampus Teknologi UTeM, Ayer Keroh dengan pengisian pelbagai aktiviti seperti pertandingan poster, sesi temu duga pelajar, ceramah kerjaya dan sebagainya.

"Minggu UTeM-Infineon kali ini menarik minat hampir 3,000 pelajar...momentum program ini masih  memberansangkan dan sentiasa meningkat setiap tahun dalam mencapai objektif yang mampu memberi manfaat kepada semua pihak,” kata  Goh.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Shahrin Sahib berkata UTeM terus merangka beberapa kerjasama dengan pihak industri sebagai usaha berterusannya dalam merancakkan lagi peningkatan penyelidikan dan inovasi serta peluang kebolehpasaran graduan universiti itu.


-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment