Monday, February 8, 2021

SIARAN MEDIA: EXPERT CONSULTATION "MAQASIDIC FRAMEWORK FOR THE FORMATION OF KHAIRA UMMAH (THE BEST OF PEOPLE)" / MUZAKARAH PAKAR "KERANGKA MAQASID BAGI PEMBENTUKAN KHAIRA UMMAH (UMAT YANG TERBAIK)"

 KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) — Muzakarah Pakar  bertemakan “Kerangka Maqasid bagi Pembentukan Khaira Ummah (Umat yang Terbaik)” (atau Maqasidic Framework for the Formation of Khaira Ummah (The Best of People) merupakan program anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang pertama bagi tahun 2021. Program yang dianjurkan secara dalam talian ini mengumpulkan pakar-pakar dari kalangan ulama, ahli akademik, pengamal perubatan dan pembuat dasar, bagi membincangkan tentang bagaimana maqasid syariah (matlamat syariah) boleh digunakan sebagai kerangka dalam membentuk umat yang terbaik (atau khaira ummah). Perbincangan yang berlangsung ini turut meletakkan kerangka ini dalam konteks semasa iaitu pandemik COVID-19.   

Penganjuran Muzakarah Pakar ini merupakan usaha berterusan pihak IKIM dalam menyerlahkan pendekatan Islam untuk menangani permasalahan semasa. Muzakarah Pakar ini dimulakan dengan penyampaian ucapan tema oleh YABhg. Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid, Pengerusi IKIM, diikuti dengan sesi sumbang saran daripada tujuh orang pakar yang dijemput.

Pakar-pakar yang terlibat adalah seperti berikut:

1.         Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan yang menyentuh tentang pemeliharaan agama (hifz al-deen)

2.         YBhg.Profesor Dr. Abdul Latiff bin Mohamed, Profesor, Fakulti Perubatan, Universiti Cyberjaya yang menyentuh tentang pemeliharaan nyawa (hifz al-nafs)

3.         YBhg. Profesor Dato’ Dr. Jafri Malin bin Abdullah, Pakar Runding Kanan Neurosurgeri, Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang menyentuh tentang pemeliharaan akal fikiran (hifz al-‘aql) 

4.         YBhg. Dato’ Dr. Musa bin Mohd Nordin, Pakar Runding Pediatrik dan Neonatalogi, Hospital Pakar KPJ Damansara yang menyentuh tentang pemeliharaan keturunan (hifz al-nasl)

5.         Profesor Madya Dr. Aznan bin Hasan, Institut Perbankan dan Kewangan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyentuh tentang pemeliharaan harta (hifz al-mal)

6.         Ustazah Nor Safina binti Zainal, Pengarah, Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyentuh tentang peranan JAKIM dalam memberikan kefahaman tentang maqasid syariah

7.         YBhg. Profesor Dr. Muhammad Syukri bin Salleh, Mantan Pengarah, Pusat Pengajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengulas tentang usaha-usaha yang telah dan perlu dijalankan untuk menggunakan kerangka maqasid ke arah pembentukan umat yang terbaik.

Muzakarah Pakar ini menyerlahkan bahawa kerangka maqasid syariah boleh digunakan untuk membentuk satu umat atau masyarakat yang mampu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang dihadapi. Kerangka maqasid syariah meletakkan kepentingan kepada usaha untuk membawa manfaat demi maslahah umum dan pada waktu yang sama, mengurangkan kerosakan atau kemudaratan yang dihadapi. Perkara ini amat relevan terutamanya dalam berhadapan dengan suasana pandemik COVID-19. Kefahaman Islam yang betul adalah diperlukan supaya kerangka maqasid syariah dapat dijayakan dalam semua aspek kehidupan. Prinsip-prinsip maqasid syariah iaitu penjagaan agama, nyawa, akal fikiran, keturunan dan harta adalah penting bagi membentuk khaira ummah yang mempunyai tiga ciri utama iaitu mengajak kepada kebaikan (amar maaruf), mencegah daripada perbuatan keji (nahi munkar) dan berpegang kepada akidah yang benar.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14223

No comments:

Post a Comment