Thursday, September 23, 2021

IKIM PERKUKUH PENERBITAN DAN PENYIARAN DIGITAL SEBAGAI AMALAN NORMA BAHARU

KUALA LUMPUR23 Sept (Bernama) -- Bagi menyahut seruan kerajaan dalam pendigitalan perkhidmatan secara menyeluruh, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengambil langkah proaktif dengan mengukuhkan pendigitalan sumber dan proses kerja seharian melalui penerbitan ‘e-Buku’ IKIM dan pengoperasian siaran Radio IKIM sepenuhnya melalui aplikasi perisian penyiaran mudah alih (Zetta2Go).

Sejak  penubuhan IKIM, Penerbit IKIM telah banyak menerbitkan buku-buku dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, syariah, politik dan sains. Buku-buku tersebut bukan sahaja boleh didapati dalam bentuk fizikal, tetapi juga dapat dibaca dan dimuat turun dalam bentuk ‘e-Buku’ melalui laman web e-Sentral sejak tahun 2013.

Sehingga kini, terdapat 84 judul ‘e-Buku’  terbitan IKIM yang diperoleh pada harga 50% lebih murah berbanding buku fizikal dan dapat dimuat turun pada bila-bila masa. Penerbitan ‘e-Buku’ IKIM dilaksanakan melalui platform eSentral, sebuah portal ‘e-Buku’ terbesar di Asia Tenggara, yang menawarkan lebih dari 350,000 judul daripada penerbit dan penulis hebat dan terkenal dari dalam dan luar negara. Sehingga kini, eSentral mempunyai lebih 450,000 pengguna (user) dengan 40% daripada mereka berupa pengguna berulang/kerap (recurrent user).

Penyiaran Radio IKIM juga dilaksanakan melalui aplikasi perisian (software) penyiaran mudah alih iaitu Zetta2GO yang membolehkan penyampai bersiaran dari pelbagai lokasi tanpa perlu hadir ke konti. Sebagaimana warga kerja sektor lain yang digalakkan bekerja dari rumah, penyampai radio juga dapat melakukan kerja-kerja melibatkan penyiaran dan penerbitan rancangan dengan bantuan perisian ‘Zetta2GO’ dan bersiaran setiap hari dari lokasi kediaman masing-masing tanpa menjejaskan kualiti siaran.

Radio IKIM turut memanfaatkan pengunaan perisian sidang video bagi melaksanakan penerbitan rancangan-rancangan bual bicara bersama tetamu jemputan. Penggunaan perisian ini telah berjaya memastikan rancangan-rancangan bersiaran mengikut jadual manakala tetamu tidak perlu hadir ke studio untuk bersiaran langsung atau mengadakan sesi rakaman demi mengawal penularan wabak COVID -19. Siaran radio IKIM boleh diikuti menerusi platform digital media IKIM di https://www.linktr.ee/ikim.

IKIM PERKUKUH PENERBITAN DAN PENYIARAN DIGITAL SEBAGAI AMALAN NORMA BAHARU

No comments:

Post a Comment