Tuesday, September 14, 2021

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: LHDNM SUMBANG 1,300 BAKUL MAKANAN KEPADA PENDUDUK DI KEDAH & KUALA LANGAT, SELANGOR

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Program CSR Hasil Prihatin yang dilaksanakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) diteruskan dengan sumbangan sebanyak 1,300 bakul makanan kepada golongan rentan di negeri Kedah dan Kuala Langat, Selangor.
 
Di Kedah, sesi penyampaian sebanyak 1,250 bakul makanan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Paduka Ammar Bin Dato’ Shaikh Mahmood Naim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Pejabat Daerah Dan Tanah Kota Setar, Alor Setar, Kedah. Sumbangan bakul makanan diserahkan kepada wakil-wakil penerima yang telah dikenal pasti dengan kerjasama Pejabat Daerah dan akan diagihkan kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik COVID-19 di sekitar negeri tersebut. Turut hadir dalam program hari ini ialah Encik Muhamad Mustafa Bin Said, Pengarah Negeri LHDNM Kedah/Perlis, YBhg. Dato' Haji Mohd Asri Redha Bin Abdul Rahman, Pegawai Daerah Kota Setar dan pegawai-pegawai kanan LHDNM Kedah.
 
Sementara itu, di Kuala Langat, Selangor, sesi penyerahan yang melibatkan 50 bakul makanan telah berlangsung di Pusat Khidmat Hasil (PKH) Kuala Langat dan  disempurnakan oleh Tuan Haji Kamarudin Bin Hashim, Pengarah Negeri LHDNM  Selangor. Sumbangan bakul makanan telah disampaikan kepada wakil-wakil penerima untuk diagihkan kepada penduduk terjejas di sekitar Kuala Langat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Antara wakil penerima ialah Encik Roslan bin Abdullah, wakil penduduk Taman Kemuning, Puan Rohayah Mat Som yang mewakili penduduk sekitar Taman Sri Rambai, Encik Sritaran A/L Kantan yang mewakili komuniti kaum India dan Encik Yong Teng Huat dari Jenjarom yang mewakili komuniti kaum Cina.
 
Sebagai sebuah agensi Kerajaan yang prihatin, LHDNM akan sentiasa menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang berkemampuan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pandemik ini. Komitmen LHDNM ini terbukti apabila sehingga kini, Program CSR Hasil Prihatin telah menyumbang sebanyak 12,370 bakul makanan kepada golongan rentan di seluruh negara. 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=14970

No comments:

Post a Comment