Saturday, September 4, 2021

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN: BANTUAN 200 BAKUL MAKANAN UNTUK RAKYAT DI SEKITAR CHERAS

CHERAS, 2 Sept (Bernama) -- Rakyat yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di sekitar kawasan Cheras mendapat perhatian Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dengan bantuan sebanyak 200 bakul makanan menerusi Program CSR Hasil Prihatin.

Bantuan bakul makanan tersebut telah disampaikan oleh Encik Mohamad Fauzi Saat, Pengarah Negeri LHDNM WP Putrajaya di Masjid As-Sodiqin, Taman Kobena kepada wakil-wakil penduduk untuk diserahkan kepada para penerima yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Cheras, termasuk dari Program Perumahan Rakyat (PPR) Pudu Ulu, Flat Taman Kobena, Flat Taman Pertama dan Flat Sri Sabah. Turut hadir dalam program ini ialah Encik Nasruddin bin Mat Nasir, Pengarah Cawangan LHDNM Cheras, Ustaz Syed Abdullah bin Syed Nordin, wakil Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Tuan Haji Noor Zakri Nuruddin, Pengerusi Masjid As-Sodiqin.
 
Program CSR Hasil Prihatin ini telah dilancarkan oleh Menteri Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial LHDNM dalam menyantuni rakyat yang memerlukan bantuan khususnya golongan yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
 
Program ini juga merupakan usaha berterusan LHDNM dalam memberikan sokongan kepada golongan rentan agar mereka tidak rasa terpinggir.
 
Sehingga kini sebanyak 5,670 bakul makanan telah diagihkan dan usaha ini akan diteruskan oleh semua Cawangan LHDNM di seluruh negara sebagai komitmen LHDNM meringankan bebanan segenap lapisan rakyat.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Tarikh: 02 September 2021

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658/21666/21695/21674/21663
Faks: 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment