Tuesday, September 14, 2021

PROGRAM CSR HASIL PRIHATIN : 1,059 BAKUL MAKANAN DIAGIHKAN DI PAHANG, SABAH DAN SARAWAK

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengagihkan 1,059 bakul makanan kepada golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di Pahang, Sabah dan Sarawak melalui pelaksanaan Program CSR Hasil Prihatin.

Di Kuantan, Pahang, program penyerahan sumbangan telah diadakan di Dewan Indera Perdana, Menara Hasil LHDNM Cawangan Kuantan dan disempurnakan oleh YBhg. Dr. Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal & Operasi), Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dan Encik Ab Aziz Bin Muhamad Esop, Pengarah Seksyen PPN Pahang bersama Encik Che Mustafa Bin Che Ali, Pengarah Cawangan Kuantan. Sebanyak 459 bakul makanan diserahkan kepada 7 buah masjid di daerah Kuantan dan Dewan Bangunan Penyayang, Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan untuk diagihkan kepada para penerima sumbangan yang telah dikenal pasti terjejas dengan penularan wabak COVID-19. 7 masjid tersebut ialah Masjid Tengku Ampuan Afzan di Indera Mahkota, Masjid Al-Makmur yang terletak di Batu 10, Masjid Sultan Ahmad Shah, Sungai Isap, Masjid Saidina Ali Abi Talib, Bukit Sekilau, Masjid Tareq Ziyad, Pusat Pertumbuhan Desa Soi, Masjid Fatimah Azahraa, Indera Sempurna dan Masjid Ittifaqiyyah di Inderapura.

Selain di Kuantan, Program CSR Hasil Prihatin untuk negeri Pahang turut diadakan di Raub, Bentong, Lipis, Jerantut dan Cameron Highlands dengan kerjasama MUIP dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Amal, Jaringan Cemerlang Masyarakat Bentong, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort Kuala Tahan, Taman Negara. Dalam program ini sebanyak 200 bakul makanan telah diagihkan kepada masyarakat setempat yang kurang berkemampuan.  

Di Keningau, Sabah, LHDNM dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Bahagian Keningau telah menyumbangkan 100 bakul makanan kepada masyarakat setempat yang layak. Penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajam Bin Lajah Alam, Pengarah Negeri LHDNM Sabah dan program tersebut turut dihadiri oleh Encik Mazlan Bin Mandin, Pengarah Cawangan LHDNM Keningau dan pegawai-pegawai kanan LHDNM Cawangan Keningau.
 
LHDNM turut menyantuni komuniti di Wilayah Persekutuan Labuan dengan mengagihkan sebanyak 100 bakul makanan kepada wakil penduduk dan wakil gereja di wilayah berkenaan. Majlis penyerahan sumbangan yang disempurnakan oleh Encik Syaiful Nizam Bin Abdul Majid, Pengarah Cawangan LHDNM Labuan telah berlangsung di Dewan Komuniti Sg. Lada dan di Gereja Seventh-Day Adventist. Turut hadir dalam program penyerahan tersebut ialah Encik Supian Bin Musa, Pengarah Jabatan Penerangan WP Labuan, Tuan Haji Rithuan Bin Haji Mohd Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah WP Labuan, wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan,  Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Labuan dan wakil-wakil dari Gereja Seventh-Day Adventist, Gereja Basel (BCCM) Labuan, Gereja SIB Spring Garden Labuan, Gereja SIB Bandar Labuan dan Gereja Blessed Sacrament Labuan.
 
Di Miri, Sarawak pula, program penyerahan sumbangan telah berlangsung di Kompleks Islam Miri dengan 200 bakul makanan diserahkan kepada Pusat Kebajikan Masyarakat Bahagian Miri dan Baitulmal Bahagian Miri yang kemudiannya akan diagih-agihkan kepada para penduduk di sekitar kawasan tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Sumbangan diserahkan oleh Puan Malanie Sullivan, Pegawai Pejabat Residen Miri dan Encik Naharuddin Nurdin, Pengarah Cawangan Miri kepada wakil JKM Miri & Baitulmal Miri.
 
Sehingga 7 September 2021, sebanyak 8,829 bakul makanan telah diserahkan kepada golongan yang terjejas dengan pandemik COVID-19 di Malaysia. Sejajar dengan aspirasi kerajaan yang menekankan konsep prihatin dan sentiasa peka dalam memelihara kebajikan rakyat, Program CSR Hasil Prihatin yang dilancarkan oleh Menteri Kewangan pada 31 Julai 2021 yang lalu akan diteruskan dan diperluaskan lagi pelaksanaannya ke seluruh negara.

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia


Tarikh: 07 Sept 2021

SUMBER : Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia
Tel: 03-8313 8888 samb. 21658/21666/21695/21674/21663
Faks: 03-8313 7873
Hasil Care Line : 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (luar negara)  
Portal Rasmi : www.hasil.gov.my 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment