Thursday, September 9, 2021

MALAYSIA PERLUKAN POLISI PENGURUSAN KEMISKINAN TUNGGAL

BACHOK, 6 Sept (Bernama) -- Beberapa minggu lepas Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), telah mengeluarkan statistik insiden kemiskinan baharu, dan ramai yang tersentak dengan nombor-nombor kemiskinan yang tinggi.

Insiden kemiskinan begitu memberi gambaran bahawa jurang antara miskin-kaya masih berlaku dengan ketara. Meskipun kita tahu bahawa pekali gini Malaysia adalah boleh diterima, iaitu 0.411 bagi tahun 2020 berbanding 0.407 bagi tahun 2019.
 
Sedikit biasan kepada realiti ini, perlu kita tahu berlakunya peningkatan insiden kemiskinan ini adalah akibat dari Malaysia bersetuju untuk menggunakan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan baharu atau dikenali sebagai PGK2019 yang mana PGK2019 telah ditambah baik dan berbeza dari metodologi PGK2005.
 
PGK2019 mempertimbangkan ‘cost of basic needs’, pola perbelanjaan B20, perbezaan harga mengikut lokasi, strata dan negeri, dan akhir sekali mengambil kira tiga komponen asas, iaitu keperluan makanan, keperluan bukan makanan dan ciri-ciri isi rumah.
 
Dengan mempertimbangkan perkara-perkara lain lagi, maka nilai PGK2019 telah meningkat lebih dari dua kali ganda berbanding PGK2005.
 
Jika sebelum ini PGK2005 adalah RM980, kini PGK2019 menjadi RM2,208. Ringkasannya, PGK2019 menggabungkan dua kategori PGK, iaitu PGK makanan yang bernilai RM1,169 (miskin tegar) dan PGK bukan makanan bernilai RM1,038.
 
Gabungan kedua-dua PGK ini menjadikan PGK2019 kepada nilai RM2,208.
 
Pada peringkat awal, pengenalan PGK2019 menyebabkan insiden kemiskinan di Malaysia meningkat sehingga 5.6 peratus.
 
Selain daripada akibat menggunakan PGK2019, ia juga adalah kesan langsung dari pandemik COVID-19 yang menjejaskan sumber pendapatan rakyat dan seterusnya menjerumuskan mereka ke dalam insiden kemiskinan.
 
Kita harus akui, Malaysia memperkenalkan PGK2019 pada tahun lepas dan mula menggunakannya dalam RMKe-12 merupakan satu tindakan berani dan boleh memakan diri.
 
Lebih-lebih lagi ia diperkenalkan serta digunakan ketika pandemik COVD-19 sedang mengganas.
 
Namun, dari sudut yang lain, usaha ini harus dipuji kerana Malaysia berani untuk mendefinisikan kembali dan mengenal pasti siapakah yang benar-benar miskin dan kemudiannya dapat elakkan dari wujudnya kelompok yang tercicir.
 
Sempena Malaysia mula menggunakan PGK2019, maka ianya perlu disusuli dengan momentum menggunakan strategi yang baru. Strategi tersebut perlulah menyeluruh, realistik, inklusif dan berimpak lestari.
 
Bagi melaksanakannya, ia memerlukan kerangka yang kuat, berjangka panjang dan serius. Maka, tidak lain dan tidak bukan, Malaysia memerlukan polisi tunggal atau berdiri sendiri.
 
Bukannya ditempelkan dengan polisi-polisi yang lain. Prinsip polisi tunggal ini dikenali sebagai ‘pro-poorness policy’.
 
Jika mengimbau sedikit sejarah lepas Malaysia, kita pernah ada polisi kuat untuk menguruskan kemiskinan, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990).
 
DEB menumpukan untuk membasmi kemiskinan melalui penyusunan semula masyarakat, membaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum.
 
Pelaksanaan DEB selama 20 tahun telah berjaya mengurangkan dengan signifikan insiden kemiskinan dan sebagai limpahannya dapat mengukuhkan perpaduan negara.
 
Sebaliknya dasar tunggal pengurusan kemiskinan perlu ditumpukan kepada pembasmian kemiskinan dan peningkatan kesejahteraan.
 
Apakah antara kandungan yang boleh dimasukkan dalam dasar tunggal pengurusan kemiskinan Malaysia ini? Antara lontaran awal, sudah pasti pengurusan kemiskinan memerlukan data yang komprehensif.
 
Kita maklum bahawa Malaysia sudah pun mempunyai pangkalan data khusus yang mengandungi data-data komuniti miskin.
 
Sempena dengan dunia kini disokong dengan teknologi 4IR, maka pangkalan data kita perlu diperkasakan lagi dengan menggunakan teknologi data raya dan di dalamnya terdapat pelbagai teknologi baharu yang dilibatkan bersama seperti teknologi kecerdasan buatan (AI), teknologi digital dan sebagainya.
 
Pengisian utama mungkin bukan lagi hanya tertumpu kepada data pendapatan dan latar belakang asas, tetapi memerlukan data yang bersifat 360 darjah atau boleh menggunakan pendekatan pemetaan komuniti 360o.
 
Data dari Pemetaan 360boleh mengandungi ‘data boleh guna’ untuk aktiviti intervensi komuniti miskin dalam program pembasmian tertentu berasaskan potensi mereka dan bukannya menggunakan pendekatan blanket.
 
Sempena dengan memiliki data yang komprehensif tersebut, gerakkannya juga perlukan dokongan dan kolaborasi dengan semua pemegang taruh.
Sudah pasti perlu melibatkan empat kelompok utama, iaitu kumpulan sasar (komuniti miskin), kerajaan, industri dan komuniti di samping institusi-institusi formal lain.
 
Seiring dengan perancangan pembangunan fizikal dan bukan fizikal, kelompok ini dapat bersama dalam usaha pengurusan kemiskinan dengan berkongsi dan memanfaatkan data melalui konsep data terbuka.
 
Penglibatan mereka dengan konsep data terbuka membolehkan data lebih dipercayai kerangka mengandungi prinsip semak dan imbang.
 
Malah usaha ini juga selaras dengan gerakan antarabangsa yang cuba membangkitkan masyarakat pintar (society of intelligence) atau Society 5.0 yang mana masyarakat menggunakan data dan teknologi untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.
 
Selain itu, usaha menguruskan kemiskinan juga perlu dimasukkan dalam gerakan berskala besar dan diserapkan dalam agenda genting atau strategik lain negara seperti bersama dalam gerakan jaminan makanan negara.
 
Sempena Malaysia kerap mengeluarkan statistik insiden kemiskinan mengikut negeri, maka wajar ditumpukan kepada strategi kolaborasi antara negeri yang mempunyai insiden kemiskinan yang tinggi seperti Sarawak, Kelantan dan Sabah.
 
Boleh diwujudkan konsortium pembangunan masa hadapan yang menggalakkan perkongsian pintar yang strategik dan praktikal serta meneroka potensi antara satu sama lain untuk bersama menguruskan kemiskinan secara berimpak lestari.
 
Perkara ini bukanlah perkara asing, malah boleh diselaraskan dengan Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama (KEGA) yang terkandung dalam Wawasan Kemakmuran Negara 2030 (WKB2030).
 
Sebetulnya, banyak lagi elemen penting yang boleh dimasukkan dalam dasar tunggal pengurusan kemiskinan Malaysia.
 
Namun paling penting adalah ianya hanya boleh direalisasikan melalui keazaman politik dan ketulusan pelaksanaan dalam menghapuskan kemiskinan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup demi bersama membina Malaysia yang lebih makmur.
 
Oleh Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Amir Zal bin Wan Ismail, Pengarah Institut penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) Universiti Malaysia Kelantan
  
SUMBER: Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaysia Kelantan (UMK)

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI: 
Nama: Encik Mohd Adzwan Bin Kamaruzaman
Tel: 0199811719
E-mel: adzwan@umk.edu.my

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment