Saturday, November 13, 2021

AEON RAIKAN DEEPAVALI DENGAN SUMBANGAN KOTAK AEON BERSAMAMU SERTA BANTUAN KEWANGAN

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- AEON CO. (M) BHD. (AEON) meraikan perayaan Deepavali tahun ini dengan memenuhi tanggungjawab korporat menerusi program kemasyarakatan dengan golongan yang memerlukan. Ianya adalah hasil kerjasama dengan Yayasan AEON Malaysia.
 
Di majlis sambutan Deepavali “Festival of Lights” yang diadakan di AEON Mall Bukit Raja, Bandar Baru Klang itu, seramai 93 keluarga di sekitar kawasan tersebut menerima sumbangan berbentuk kotak AEON Bersamamu yang  bernilai RM100 setiap satu. Kotak AEON Bersamamu merupakan kotak sumbangan yang mengandungi barang-barang keperluan harian. 
 
Di majlis tersebut, Rumah Kebajikan SVP Klang, sebuah kediaman untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan dalam lingkungan umur empat hingga dua belas tahun yang kurang bernasib baik dan juga Persatuan Kuil Sri Subramaniyar Devasthanam, Klang masing-masing telah menerima bantuan kewangan RM5,000.
 
Dengan nilai sumbangan berjumlah RM40,000, AEON turut menyumbang Kotak AEON Bersamamu kepada 307 keluarga B40 di sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Sumbangan disampaikan melalui enam cawangan AEON iaitu AEON Mall Rawang Anggun di Rawang, Selangor; AEON Mall Bukit Tinggi di Klang, Selangor; AEON BiG Klang, Selangor; AEON BiG Bukit Minyak di Bukit Mertajam, Pulau Pinang; AEON Mall Ipoh Klebang di Chemor, Perak dan AEON BiG Falim di Ipoh, Perak. 
 
Menurut Sunny Setiawan, Ketua Pegawai Operasi AEON, “Kami amat bersyukur kerana dapat turut sama menyerikan perayaan Deepavali menerusi program ‘Festival of Lights’. Ianya tetap meriah walaupun disambut serba sederhana. Kita sememangnya bertuah kerana berpeluang untuk bersama-sama meraikan perayaan Deepavali ini yang turut mengukuhkan semangat muhibbah di samping membantu komuniti di dalam ekosistem kami.”
 
“AEON sentiasa prihatin akan cabaran yang dilalui sesetengah golongan masyarakat di waktu yang getir ini. Program yang dijalankan ini adalah seiring dengan aspirasi Sayap Bagimu untuk mendorong setiap lapisan masyarakat menyokong di antara satu sama lain dan terbang tinggi bersama dalam membina hari esok yang lebih baik,” ujar Sunny lagi. 
 
Berobjektifkan untuk memberi peluang, dorongan serta sokongan kepada para pemegang taruh khususnya mereka yang memerlukan, inisiatif Sayap Bagimu memfokuskan kepada dua teras utama iaitu Pembangunan dan Kolaborasi. Ianya merangkumi pelbagai cabang program kelestarian seperti Pendidikan, Kemasyarakatan, Perniagaan, Keusahawanan, Perkembangan Sahsiah, Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan lain-lain lagi.  
 
“AEON sangat berterima kasih kepada Yayasan AEON Malaysia yang selama ini berkongsi aspirasi dan bergerak bersama dalam menjayakan program-program tanggungjawab korporat kami,” akhiri Sunny.
 
Datin Noryahwati Mohd Noh, Presiden Yayasan AEON Malaysia pula berkata, “Yayasan AEON Malaysia akan terus melebarkan sayapnya dalam membantu mereka yang memerlukan. Ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk terus menyokong kesejahteraan komuniti dan terus menyumbang melalui inisiatif Sayap Bagimu. Kami berharap sumbangan ini sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mereka sempena perayaan Deepavali ini.”
 
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Shafie Shamsuddin, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON,  pihak pengurusan AEON, para perwakilan daripada Rumah Kebajikan SVP Klang dan Kuil Sri Subramaniyar Devasthanam serta rakan-rakan perniagaan AEON.
 
Beberapa aktiviti menyeronokkan turut mewarnai majlis antaranya acara pertandingan fesyen yang disertai oleh anak-anak para pelanggan AEON dan kanak-kanak daripada Rumah Kebajikan SVP Klang serta soalan-soalan kuiz yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.
 
Di antara para penaja program ialah Kamdar Sdn. Bhd., Poh Kong Holdings Berhad, VIP Pass Holidays (M) Sdn. Bhd. dan Eastern Decorator Sdn. Bhd.
 
Majlis sambutan ‘Festival of Lights’ selaras dengan usaha AEON yang memperjuangkan Matlamat Pembangunan Kelestarian Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG). Antaranya ialah Institusi Keamanan dan Keadilan yang Kukuh (Matlamat 16) iaitu memastikan masyarakat yang adil, aman dan inklusif. 

 
Mengenai AEON Runcit 
 
AEON CO. (M) BHD. adalah syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia dengan 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 9 MaxValu Prime, 65 AEON Wellness dan 43 DAISO di seluruh negara. Ia ditubuhkan pada tahun 1984 sebagai maklum balas kepada jemputan oleh Kerajaan Malaysia dalam membantu memodenkan industri peruncitan negara. 
 
AEON BiG (M) SDN. BHD. mengendalikan 21 pasar raya besar dengan nama dagang "AEON BiG" di Malaysia. Ia menawarkan pelbagai pilihan dengan nilai yang hebat. Pengambilalihan AEON BiG adalah sebahagian daripada rancangan AEON Group untuk mengembangkan perniagaan di Asia Tenggara dan mengembangkan lagi operasi di Asean. 
 
AEON terus berusaha untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan yang sentiasa berubah. Berpandukan kepada falsafah “Pelanggan Didahulukan”, pemahaman mendalam mengenai keperluan pasaran sasaran, dibantu oleh campuran produk yang optimum, AEON beriltizam untuk melangkaui jangkaan pelanggan dan meningkatkan pengalaman mereka setiap kali mereka berbelanja di rangkaian AEON. 
 
Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam Bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had.
 

Sumber: AEON CO. (M) BHD.  

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15212

No comments:

Post a Comment