Friday, November 19, 2021

FORUM "MASYARAKAT, HUTAN DAN AIR: MAQASID AL-SHARIAH DALAM MEKANISME URUS TADBIR MITIGASI PERUBAHAN IKLIM"

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah menganjurkan forum bertajuk “Masyarakat, Hutan dan Air: Maqasid Al-Shariah dalam Mekanisme Urus Tadbir Mitigasi Perubahan Iklim” secara dalam talian, yang menampilkan pakar-pakar berautoriti yang berlatar belakangkan bidang pengajian Islam, dan bidang berkaitan alam sekitar, hutan dan air. Program ini telah membincangkan: (i) urus tadbir hutan dan alam sekitar dari pelbagai sudut; (ii) hubung kait antara agensi-agensi yang berkait dengan hutan dan alam sekitar; dan (iii) resolusi bagi urus tadbir hutan dan alam sekitar yang lebih lestari. Forum yang berlangsung selama sehari ini turut disiarkan secara langsung kepada umum melalui laman web TVIKIM dan Laman Facebook IKIM.      

Forum ini merupakan anjuran bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Penganjurannya adalah sebahagian usaha berterusan IKIM untuk mengarusperdanakan pemikiran yang menyepadukan aspek pemuliharaan alam sekitar dan pendekatan Islam, bagi mendepani isu-isu alam sekitar yang begitu kritikal pada hari ini seperti pencemaran, kemusnahan ekosistem hutan, kemerosotan sumber air dan perubahan iklim global yang memberi ancaman besar terhadap keseimbangan ekosistem sehingga mengundang pelbagai bencana alam yang tidak diingini, umpamanya tanah runtuh, banjir dan sebagainya.

Forum ini juga menyerlahkan beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian dalam urus tadbir alam sekitar, hutan dan air agar usaha mitigasi perubahan iklim yang dilakukan mampu memberi impak yang ketara. Antaranya adalah seperti: (i) tindakan yang dilakukan perlu ada cascading di peringkat masyarakat secara lebih meluas; (ii) menjadikan isu perubahan iklim yang dibincangkan dari sudut maqasid shariah sebagai satu isu yang dapat difahami oleh masyarakat; (iii) isu perubahan iklim bukan hanya perlu difikirkan oleh cendekiawan di menara gading atau pembuat dasar semata-mata, tetapi juga yang memerlukan tindakan secara bersama oleh semua pihak; dan (iv) hanya tindakan yang diambil secara bersama bersandarkan pada fakta sains dan panduan agama akan dapat memastikan isu perubahan iklim ditangani dengan lebih berkesan. 

No comments:

Post a Comment