Thursday, November 11, 2021

KURSUS LANJUTAN "PENGURUSAN HARTA KELUARGA ISLAM"

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Program Kursus Lanjutan “Pengurusan Harta Keluarga Islam” anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah pun selesai dilaksanakan dengan jayanya pada 1 dan 2 November 2021. Program ini merupakan kursus lanjutan selepas kursus di peringkat asas yang dianjurkan pada tahun 2019, 2020 dan Mac 2021. Seramai 25 orang peserta dengan pelbagai latar belakang telah menyertai kursus ini.

Pada hari pertama kursus ini telah diisi dengan tiga tajuk pembentangan. Pembentangan bertajuk, “Pengurusan Harta Keluarga Islam (Lanjutan)” telah memulakan program ini. Ia dibentangkan oleh Yang Berusaha Dr. Mohd Zamro bin Muda yang merupakan Pensyarah Kanan/Penolong Dekan (Kualiti dan Strategi), Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tajuk ini kemudiannya disusuli dengan pembentangan bertajuk, “Wasiat: Prosedur dan Pengalaman di Malaysia (Lanjutan)” oleh Yang Berusaha Tuan Mohamed Fouzi bin Mokhtar. Beliau merupakan Pegawai Syariah Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan. Hari pertama diakhiri dengan pembentangan oleh Yang Berusaha Tuan Mohd Faiz bin Adnan yang merupakan peguam dari Tetuan Faiz Adnan & Associates.

Hari Kedua kursus lanjutan ini diteruskan dengan pembentangan yang keempat daripada Yang Arif Tuan Haji Mohammad Taifor bin Ahmad Rusdi, Hakim Rayuan Mahkamah Syariah Perak. Yang Arif telah membuat pembentangan bertajuk, “Harta Sepencarian: Prosedur dan Pengalaman di Malaysia (Lanjutan).”

Dilanjutkan lagi dengan pembentangan oleh Yang Berusaha Tuan Baharuddin bin Aziz iaitu Pengarah Bahagian Pembahagian Pusaka di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Persekutuan, Putrajaya. Perbincangan beliau bertajuk, “Hal-Ehwal Pentadbiran Harta Pusaka Islam di Malaysia dan Permasalahannya (Lanjutan).

Kemuncak kepada program ini ialah Latihan dalam Kumpulan (LDK) yang disediakan oleh pihak penganjur. Peserta dipecahkan kepada enam kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu soalan kuiz yang berkaitan dengan permasalahan dalam pengurusan harta keluarga Islam. Mereka akan berbincang sesama sendiri terlebih dahulu dan selepas itu setiap kumpulan perlulah membuat pembentangan oleh wakil kumpulan bagi melihat kefahaman mereka terhadap soalan, dan kemahiran mereka dalam mengendalikan atau menguruskan permasalahan yang diberikan. Pembentangan akan diulas oleh pembentang-pembentang yang bertindak sebagai pembimbing. Program berakhir sekitar jam 4.30 petang.

Unit Perhubungan Korporat
5 November 2021

SUMBER: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15183 

No comments:

Post a Comment