Saturday, April 30, 2022

BANK MUAMALAT RAIKAN ANAK YATIM & PELAJAR MAAHAD TAHFIZ SEMPENA RAMADAN DI LOKASI BERBEZA

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) meraikan lebih daripada 250 tetamu istimewa anak yatim dan pelajar Maahad Tahfiz pada majlis berbuka puasa yang diadakan sempena bulan Ramadan 1443 Hijrah. Lima majlis berasingan diadakan di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Johor, Kota Bharu, Kelantan, Sungai Petani, Kedah dan Kota Kinabalu, Sabah. Para tetamu terdiri daripada anak-anak Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Pertubuhan Pusat Jagaan Kebajikan Kesayangan Kasih Abadi, Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Uzma Lil Aitam, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Kelantan (PEKAYATIM), Pusat Jagaan Kasih Abadi, Rumah Anak Yatim As-Sakinah dan Rumah Transit Mualaf Sabah.
 
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata majlis tersebut menjadi platform untuk berkongsi kegembiraan bersama insan yang memerlukan dalam menyambut kehadiran Syawal yang bakal menjelang.
 
“Ia juga diadakan bagi memupuk dan mengeratkan perasaan kasih sayang (ukhuwah), tali persaudaraan sesama Muslim dan keperihatinan di antara kakitangan Bank Muamalat dengan mereka yang kurang bernasib baik. Mereka tidak perlu ketinggalan dalam meraikan keistimewaan Ramadan mahupun kegembiraan Aildilfitri seperti orang lain,” kata Khairul.
 
Khairul meluangkan masa bersama pelajar Maahad Tahfiz dan golongan kurang bernasib baik di setiap majlis yang dianjurkan. Di Dorsett Hartamas, Kuala Lumpur pula, kehadiran Pengerusi Bank Muamalat, Datuk Seri Tajuddin Atan serta ahli lembaga pengarah yang lain turut menyerikan lagi majlis. Turut serta beberapa anggota pengurusan kanan dan kakitangan Bank Muamalat.
 
Selain majlis berbuka puasa, Bank Muamalat turut  menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM40,000 kepada lapan buah pertubuhan dan pusat jagaan yang diraikan untuk membantu kos penyelenggaraan operasi masing-masing. Anak-anak yang hadir turut menerima duit raya bernilai keseluruhannya RM26,700.

Sumber: Bank Muamalat Malaysia Berhad 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=15846

No comments:

Post a Comment