Saturday, February 24, 2024

PELANCARAN PERTANDINGAN MEREKA CIPTA VIDEO PENDEK KEFAHAMAN ISLAM (VIPKI) UNTUK PENUNTUT INSTITUT PENGAJIAN TINGGI (IPT) 2024 DENGAN TEMA "HARMONI"

 



KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 21 Februari 2024 telah melancarkan  “Pertandingan Mereka Cipta Video Pendek Kefahaman Islam (VIPKI) untuk Penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2024 dengan tema “Harmoni”.

Pertandingan ini telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah IKIM, YBhg. Prof. Madya. Dato’ Dr Mohamed Azam bin Mohamed Adil.  Menurut beliau, penganjuran VIPKI pada tahun 2024 ini merupakan penganjuran buat kali yang kedua selepas VIPKI 2023 mendapat sambutan yang sangat baik daripada para penuntut IPT.  Pada tahun lalu seramai 618 peserta dari 49 IPT telah menyertai pertandingan ini dan 10 peratus daripada peserta merupakan penuntut bukan Islam.

VIPKI dianjurkan bertujuan untuk menggalakkan penghasilan video pendek kefahaman Islam bagi membina minda Islami dan menanamkan nilai-nilai murni sejagat dalam kalangan masyarakat.

Pertandingan ini diharap dapat menarik minat ramai anak muda untuk memahami Islam dan menyampaikan mesej Islam itu melalui video pendek yang dihasilkan.  “VIPKI juga diharap dapat menggalakkan anak muda Islam dan bukan Islam untuk bergabung dan bersinergi bagi menghasikan karya yang hebat”, ujar Ketua Pengarah IKIM. 
 
Menurut Prof. Madya Dato’ Dr Mohamed Azam, pada tahun 2024 ini, tema pertandingan adalah “HARMONI” dan sehubungan itu, karya yang dipertandingkan hendaklah menggambarkan kehidupan masyarakat majmuk Malaysia yang harmoni.       

Idea teras VIPKI hendaklah berasaskan kehidupan masyarakat majmuk harmoni Malaysia seperti: (a) Menghormati perbezaan, menghargai persamaan dan mencintai kedamaian; (b) Menegakkan keadilan dan kesaksamaan; dan, (c) Menggalakkan kerjasama antara masyarakat.

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17922
 


No comments:

Post a Comment