Saturday, February 3, 2024

SALIHIN MENGUMUMKAN PELANTIKAN YBHG. DATO' SRI DR. MOHD NIZOM SAIRI SEBAGAI AHLI LEMBAGA PENASIHAT




KUALA LUMPUR, 2 Feb (Bernama) -- 
SALIHIN, sebuah firma perkhidmatan profesional tempatan terkemuka, mengumumkan pelantikan Y.Bhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom Sairi sebagai ahli Lembaga Penasihatnya, berkuat kuasa pada 1 Februari 2024.

Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom Sairi merupakan tokoh terkenal dalam pentadbiran cukai di Malaysia dengan lebih 38 tahun pengalaman perkhidmatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM). Puncak pencapaian beliau di LHDNM adalah semasa memegang peranan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di mana beliau telah melaksanakan transformasi kepimpinan serta memberi sumbangan penting kepada petunjuk prestasi sistem percukaian negara.
 
“Kami amat mengalu-alukan penyertaan YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom sebagai ahli Lembaga Penasihat firma kami,” kata Tuan Hj. (Dr.) Salihin Abang, Pengasas dan Rakan Kongsi Pengurusan Kumpulan SALIHIN. “Pengalaman luas beliau dalam bidang percukaian, pematuhan, dan tadbir urus strategik akan membawa nilai yang sangat tinggi bagi pertumbuhan firma serta komitmen terhadap kecemerlangan. Kami yakin dengan bimbingan daripada YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom akan memberi sumbangan bermakna kepada kejayaan hala tuju strategik kami.”
 
Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom dikenali atas usaha dan dedikasi beliau bagi meningkatkan pematuhan cukai secara sukarela serta memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan perkhidmatan cukai kepada rakyat. Pencapaian penting beliau di Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia termasuklah kejayaan pelaksanaan konsep AES (Awareness, Education, Services) serta mencatat rekod bagi kutipan cukai tertinggi, mencerminkan keupayaan beliau untuk mendorong perubahan yang berkesan.
 
SALIHIN berharap untuk mendapat manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman luas yang dimiliki oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Nizom dalam usaha firma ini untuk menyampaikan perkhidmatan yang cemerlang dan memupuk kepercayaan para pelanggan.

SUMBER: SALIHIN 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment