Monday, January 28, 2019

Pemimpin Buddha gesa peletakan senjata nuklear

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) – Presiden Soka Gakkai International (SGI), Daisaku Ikeda, dalam cadangan kedamaiannya untuk tahun 2019 yang diterbitkan baru-baru ini menyeru agar usaha bersepadu diambil ke arah pelucutan senjata dan menggesa para belia supaya menjadi ejen perubahan.

Bertajuk ‘Ke Arah Era Baharu Keamanan dan Pelucutan Senjata: Pendekatan Berpaksikan Insan', Ikeda memohon agar usaha penghapusan senjata nuklear dipercepatkan dengan mempercepatkan pelaksanaan Perjanjian Mengenai Pengharaman Senjata Nuklear 2017 (TPNW).

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau turut memberi penekanan kepada bahaya sistem senjata pembunuh autonomi (LAWS) dan menggesa agar satu persidangan diadakan segera untuk membincangkan perjanjian mengenai pengharaman senjata seumpama itu.

Beliau juga menggesa masyarakat supaya berubah daripada melihat isu keselamatan dari sudut negara atau ketenteraan semata-mata kepada sesuatu yang memfokus kepada insan untuk membina sebuah dunia yang memiliki keselamatan yang bererti.

Beliau mengakui bahawa cabaran-cabaran dunia yang kini amat kompleks akan membuatkan golongan belia berfikir bahawa perubahan positif adalah mustahil untuk dicapai tetapi beliau berkata mereka perlu mengenyahkan perasaan putus asa dan "menghadapi cabaran-cabaran yang sukar pada zaman ini sebagai ejen perubahan yang proaktif dan menularkannya."

Beliau juga menggesa agar diperluaskan rangkaian universiti-universiti di bawah proram Impak Akademik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAI) bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan mencadangkan agar satu persidangan diadakan untuk membincangkan universiti-universiti berkenaan pada 2020.

Mengenai penghapusan senjata nuklear, beliau mencadangkan perlunya diperluaskan ratifikasi TPNW untuk memaksa pelaksanaannya, dan beliau menggesa ditubuhkan sebuah kumpulan negara-negara yang bersependapat untuk memperdalami lagi perbahasan dan memperkenalkannya.

Memandang ke depan ke arah Persidangan Kajian Semula Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear 2020 (NPT), Ikeda menggesa supaya diambil langkah-langkah seperti mengeluarkan senjata-senjata nuklear daripada status berjaga-jaga peringkat tinggi.

Beliau seterusnya mencadangkan agar sesi persidangan khas keempat Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu khusus mengenai pelucutan senjata (SSOD-IV) diadakan pada 2021.

Untuk keterangan lanjut mengenai cadangan kedamaian Ikeda ke-37, sila layari www.sgi.org.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment