Monday, January 28, 2019

Salihin dapat akreditasi CIBAFI

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Penasihat Syariah Salihin (Salihin) telah menjadi ejen bertauliah untuk Majlis Umum Bank dan Institusi Kewangan Islam (CIBAFI) bagi mempromosikan pensijilan profesional dan program-program latihannya di Malaysia.

Perjanjian agensi yang ditandatangani antara CIBAFI dan Salihin di Bahrain baru-baru ini akan membolehkan Salihin mempromosi dan memasarkan 10 pensijilan profesional, lima diploma dan satu program sarjana eksekutif profesional.

Ketua Pegawai Eksekutif Salihin, Prof. Madya Dr Ahcene Lahsasna berkata kerjasama dengan CIBAFI akan menyumbang secara ketara kepada pengkayaan kualiti pendidikan kewangan Islam di Malaysia.

"Pensijilan profesional dan program latihan CIBAFI meliputi perakaunan Islam, pengauditan, takaful, pasaran modal, kewangan perdagangan, pengurusan risiko, urus tadbir dan pematuhan.

"Sijil profesional yang diiktiraf ini akan melengkapkan kursus kewangan Islam sedia ada yang ditawarkan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

CIBAFI merupakan sebuah organisasi antarabangsa yang ditubuhkan pada 2001 dan beribu pejabat di Bahrain.

Mempunyai hubungan dengan Pertubuhan Persidangan Islam, CIBAFI mewakili industri perkhidmatan kewangan Islam di peringkat global, mempertahankan dan mempromosikan peranan, memantapkan kerjasama antara anggota dan dengan institusi lain yang memiliki minat serta objektif yang sama.

Dengan lebih 125 anggota daripada 34 bidang kuasa, yang mewakili peneraju pasaran, organisasi-organisasi antarabangsa antara kerajaan serta firma-firma profesional dan persatuan industri, CIBAFI diiktiraf sebagai agensi utama dalam pembentukan kewangan Islam antarabangsa.

"Penasihat Syariah Salihin, melalui kemudahan pendidikannya di Malaysia, ingin mengambil kesempatan untuk menjemput profesional yang berminat, pelajar dan ahli akademik bagi menyertai program CIBAFI dan menjadi CIBAFI yang diperakui," kata Ahcene.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment