Wednesday, April 12, 2023

TOURISM MALAYSIA ANJUR SESI LIBAT URUS BERSAMA PENGGIAT INDUSTRI PELANCONGAN MINAT KHAS

KUALA LUMPUR, 11 April (Bernama) -- Sejajar dengan usaha untuk menarik lebih ramai ketibaan pelancong ke negara ini, Tourism Malaysia telah mengadakan sesi libat urus bersama penggiat industri pelancongan minat khas mengenai peranan dalam menggiatkan lagi industri pelancongan negara bagi merealisasikan Tahun Melawat Malaysia 2025.

Program yang diadakan di Hotel Sunway Putra di Kuala Lumpur itu telah mengumpulkan hampir 100 pengusaha industri pelancongan dari pelbagai segmen produk minat khas untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan bagi kembali memulihkan industri pelancongan khususnya bagi segmen minat khas.

Encik Shahrin Mokhtar, Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourism Malaysia berkata, “Sesi libat urus yang diadakan ini dapat mengukuhkan hubungan rangkaian antara penggiat industri di samping berkongsi peranan penting yang dimainkan dalam membangunkan pakej pelancongan khusus bagi segmen minat khas di Malaysia.”

“Hasil kerjasama erat antara Tourism Malaysia bersama penggiat industri dan agensiagensi berkaitan, pelbagai pakej menarik yang telah dibangunkan seperti pakej selam skuba, warisan, coffee trail, beli-belah dan lain-lain lagi untuk dipasarkan sama ada di dalam mahupun di luar negeri,” tambah beliau.

Pada sesi tersebut, Tourism Malaysia juga memaklumkan kepada penggiat industri yang hadir tentang program-program yang akan dilaksanakan pada tahun ini dengan membuka peluang untuk penyertaan dalam program-program tersebut. Di samping itu, pengusaha yang hadir juga telah diperkenalkan kepada video-video promosi segmen minat khas yang telah dibangunkan termasuk sebuah video promosi yang baru, “Truly Wondrous Nature and Rainforest”.
                 
Video ini mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi untuk menikmati khazanah alam semula jadi yang menakjubkan dengan berlatarkan ekosistem yang berusia lebih 130 juta tahun.

Pada tahun ini, Tourism Malaysia mensasarkan ketibaan sebanyak 16.1 juta pelancong yang mampu menjanakan pendapatan sebanyak RM49.3 bilion kepada ekonomi negara.  Pada tahun lalu, seramai 10.1 juta orang pelancong tiba di negara ini yang menjana pendapatan sebanyak RM28.2 bilion. Manakala bagi Tahun Melawat Malaysia 2025, sasaran ketibaan pelancong adalah sebanyak 23.5 juta orang pelancong yang berupaya menjana pendapatan sebanyak RM76.8 bilion kepada negara.

Pautan           klip     video Truly Wondrous    Nature           and     Rainforest: https://youtu.be/t57nDjO1QSg. 

Tourism Malaysia

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan. Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri pelancongan antarabangsa. Untuk maklumat lanjut, layari akaun media sosial Tourism Malaysia di Facebook, Instagram, Twitter, YouTube, and TikTok.   


SUMBER : Tourism Malaysia 

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=17008

No comments:

Post a Comment