Tuesday, May 16, 2023

FORUM AIR MENDORONG KELESTARIAN AIR DALAM KALANGAN KOMUNITI MASJID DI KELANTAN

 

Salah satu daripada aktiviti pembinaan kapasiti komuniti, iaitu, perkongsian dari Duta Air Kita, Amlir Ayat (Naib Presiden EcoKnights) kepada sukarelawan serta ahli kariah yang hadir

TANAH MERAH, Kelantan, 16 Mei (Bernama) -- Masjid merupakan pusat tumpuan komuniti yang penting kepada masyarakat setempat untuk beribadat dan menggunakan air terutamanya ketika mengambil wuduk serta kegunaan lain.
 
Mengikut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, Tanah Merah, Kelantan antara salah satu kawasan yang dijangka mencapai cuaca panas Tahap Satu sepanjang musim panas ini. Penggunaan sumber air yang semakin meningkat akan memberikan impak negatif kepada seluruh lapisan masyarakat jika tidak digunakan secara berhemah.
 
Berkesinambungan  daripada  Program  Cekap  Air  Kita  Siri  pertama di Masjid Jamek  Sultan Abdul Aziz, Petaling   Jaya,   Forum   Air   melalui   inisiatif   di   bawah Kempen “Air Kita,Tanggungjawab Bersama” yang diselaraskan oleh Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights (“EcoKnights”) meneruskan siri kedua di wilayah Pantai Timur.
 
Dengan kerjasama Program Rumah Ibadat Hijau (RIH), program ini dijalankan bersama komuniti Masjid Ismail Petra di Tanah Merah, Kelantan, baru-baru ini. Program ini merangkumi beberapa komponen termasuklah aktiviti pemasangan produk cekap air di bawah Skim Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA), pembinaan kapasiti komuniti dan aktiviti kesukarelawanan.
 
Di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) mensasarkan peningkatan penggunaan peralatan cekap air yang berlabel SPPCA kepada pengguna domestik, sebanyak 50 pili cekap air berstatus dua bintang sumbangan Forum Air serta telah dipasang di kawasan wuduk wanita serta lelaki yang melibatkan ahli kariah dan sukarelawan belia daripada Maahad Tahfiz Alfurqan, Tanah Merah yang mengambil masa sekitar lebih kurang dari satu jam. Forum Air juga menyumbang ‘water thimble’ kepada semua peserta program serta sukarelawan tahfiz yang telah hadir.
 
“Usaha positif sebegini menjadi pemangkin untuk budaya gaya hidup mampan dalam kalangan ahli kariah iaitu menjadikan komuniti yang cekap air bermula di masjid.” kata Imam Tua Masjid Ismail Petra Tanah Merah, Ustaz Mohd Syukri.

“Air adalah anugerah Tuhan dalam jumlah yang tertentu dan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin.” ujar Amlir Ayat, Duta Air Kita ketika sesi perkongsian yang dilakukan bersama jemaah masjid.
 
“Umat Islam tidak lari daripada menggunakan air dalam beribadat terutamanya berwuduk. Pentingnya pihak masjid untuk memotivasikan para jemaah serta komuniti dalam menjaga air.”
 
Turut hadir, Pengarah Kanan Pembangunan dan Audit Industri Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), En. Mohamad Nasir bin Mahmood telah merasmikan majlis penyerahan produk cekap air kepada wakil daripada Masjid Ismail Petra Tanah Merah.
 
“Jika sebuah rumah menggunakan produk cekap air keseluruhan, bil air boleh dijimatkan sehingga 50 peratus ke 60 peratus. Ini adalah salah satu usaha pihak SPAN untuk mengurangkan peggunaan air domestik daripada 250 liter sehingga 150 liter menjelang tahun 2030.”
 
“Musim kemarau yang panjang akan datang boleh memberikan kesan kepada sumber air yang telah sedia ada. Dengan nilai sentimental yang dibawa oleh masjid, ianya dapat menyedarkan masyarakat untuk tidak membazir melalui ceramah serta menggunakan produk cekap air.” katanya
 
Dengan ini, Forum Air berhasrat untuk mengekalkan momentum dengan meneruskan program ini di beberapa wilayah lain demi memperkasakan komuniti tempatan untuk menjadi pengguna yang berhemat dalam pengurusan air secara proaktif.
 
SUMBER: Pertubuhan Alam Sekitar EcoKnights Kuala Lumpur and Selangor

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Forum Air-EcoKnights
Nama: Shahirah Anuar
Tel: +60 115634 2344
E-mel: shahirah@ecoknights.org.my

--BERNAMA
 

No comments:

Post a Comment