Monday, December 4, 2023

INISIATIF MYDIGITAL ID NAIK TARAF TADBIR URUS KERAJAAN DIGITAL, TINGKAT KUALITI PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

 

YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim adalah individu pertama di negara ini yang memiliki ID Digital

PUTRAJAYA, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah menjadi individu pertama yang mendaftar untuk Identiti Digital Nasional atau Digital ID. Inisiatif ini merupakan langkah maju dalam pengesahan identiti digital yang akan digunakan oleh sektor awam dan swasta untuk transaksi dalam talian, dengan tujuan mengurangkan penipuan identiti.
 
Pelaksanaan MyDigital ID adalah satu inisiatif penting dalam memperkukuhkan landskap digital negara. MyDigital ID dibangunkan untuk meningkatkan keselamatan, kecekapan, dan keselesaan pengguna di dalam ekosistem digital. Dengan penekanan kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini, MyDigital ID diwujudkan dengan sepenuhnya oleh bakat tempatan dan mematuhi piawaian ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus).
 
MyDigital ID direka khas untuk memperkukuhkan kepercayaan dan memberikan keselesaan kepada orang ramai dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian. Melalui pengesahan diri yang tepat, transaksi atas talian yang selamat, dan kemudahan log masuk tunggal, MyDigital ID mampu mengurangkan risiko penipuan dan memudahkan urusan harian berkaitan perkhidmatan dalam talian.
 
MIMOS ingin menegaskan bahawa MyDigital ID tidak menyimpan data biometrik pengguna seperti cap jari, iris/mata, atau pengecaman wajah. Justeru, Ia adalah satu langkah maju bagi memastikan keselesaan dalam menggunakan perkhidmatan dalam talian tanpa mengorbankan privasi.

MyDigital ID merupakan inisiatif yang akan menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih efisien di Malaysia, seperti pengagihan subsidi bersasar dan peningkatan akses ke sistem perubatan MADANI. Melalui identifikasi digital, transaksi seperti pembahagian bantuan menjadi lebih mudah dan telus, memastikan hanya individu yang layak dapat menerima manfaat. Ini seterusnya menyokong pembangunan negara ke arah penggunaan teknologi yang inklusif dan berintegriti.
 
Kerajaan Digital yang berasaskan data merupakan nadi utama untuk sebuah pentadbiran yang lebih cekap dan efisien. Pada masa yang sama, kerajaan turut menitikberatkan soal keselamatan digital bagi menjamin perlindungan data dan privasi individu. Sehubungan itu, MIMOS berharap program MyDigital ID akan menerima sambutan yang baik dalam kalangan masyarakat, seterusnya menyokong usaha kerajaan mereformasikan tadbir urus demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Disediakan oleh,
MIMOS Malaysia
1 DISEMBER 2023 

Mengenai MIMOS Berhad

 
MIMOS adalah agensi strategik di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pusat inovasi dalam teknologi Semikonduktor, Mikroelektronik dan ICT, yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia melalui platform, produk dan penyelesaian teknologi yang boleh dipatenkan. Sejak penubuhannya, MIMOS telah memfailkan lebih daripada 1,300 paten dalam pelbagai domain teknologi dan merentasi bidang sosio-ekonomi utama yang memacu perkembangan transformasi digital Malaysia ke arena antarabangsa, menjenamakan semula dirinya sebagai MIMOS Global pada 2022.

Sebagai pusat kecemerlangan penyelidikan, aktiviti R&D MIMOS kini tertumpu pada Semikonduktor & Penyelidikan Filem Nipis (Semiconductor & Thin Film Research), Elektronik Lanjutan & Sistem Terbenam (Advance Electronics & Embedded Systems), Teknologi Pembuatan (Manufacturing Technology) dan teknologi Negara Bestari (Smart Nation). MIMOS terus meningkatkan kerjasamanya dengan rakan kongsi strategik sedia ada, meneroka peluang baharu dengan bakal rakan kongsi, dan membangunkan syarikat teknologi baharu dan organisasi usaha niaga teknologi berorientasikan perniagaan. MIMOS juga mengekalkan R&D teknologi canggihnya, meneroka pembangunan keusahawanan teknologi global, dan memupuk sikap amanah, inovasi dan prestasi tinggi. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mimos.my. 

SUMBER: MIMOS Berhad

UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Komunikasi Korporat kami: 
Nama: Muriani Mat Zin
Ketua Jabatan, Komunikasi Korporat
E-mel: muriani@mimos.my
 
Nama: Patricia Liew
Pengurus, Komunikasi Korporat
E-mel: patricia.liew@mimos.my
 
Nama: Laurence Sebastian
Penolong Pengurus, Komunikasi Korporat
E-mel: laurence@mimos.my 

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment