Sunday, December 3, 2023

PERSATUAN TAKAFUL MALAYSIA SUNTIK SEMANGAT USAHAWAN ASNAF NEGERI KEDAH

 

Seramai 50 orang usahawan asnaf diraikan dalam Majlis Graduasi Program Transformasi Usahawan Asnaf (PTUA) di The Jerai Hotel, Alor Setar.  


MTA meraikan 50 orang usahawan asnaf di dalam majlis graduasi bagi Program Transformasi Usahawan Asnaf (PTUA) Negeri Kedah
 
KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Persatuan Takaful Malaysia (MTA) sebagai rakan strategik dalam Program Transformasi Usahawan Asnaf (PTUA) turut serta dalam meraikan majlis graduasi 50 orang usahawan asnaf yang telah berjaya menghabiskan kursus usahawan dan kemahiran di The Jerai Hotel, Alor Setar. Program PTUA telah bermula pada 11 November 2023 sehingga 17 November 2023. Kesemua 50 orang usahawan asnaf yang terlibat telah mengikuti kursus untuk bidang-bidang yang ditawarkan iaitu Pembuatan Produk Makanan Komersial, Pendawaian Elektrik dan Servis Penghawa Dingin.
 
Program anjuran bersama Persatuan Institusi Perbankan Dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) ini merupakan salah satu inisiatif yang menjadi fokus MTA dalam menyampaikan tentang kesedaran dan kepentingan Takaful kepada semua lapisan masyarakat, khususnya kepada usahawan asnaf yang terlibat dalam program ini. Terdahulu dari ini, pelaksanaan program PTUA ini adalah rentetan dari kejayaan Program Transformasi Usahawan Asnaf yang telah dilaksanakan pada 14 sehingga 20 Ogos 2023 yang lalu, untuk 50 ASNAF dari sekitar negeri Terengganu.
 
Objektif program ini adalah untuk melahirkan usahawan-usahawan dari kalangan asnaf melalui bidang-bidang kemahiran yang boleh membantu mereka dalam menambah pendapatan, seterusnya dapat membina kehidupan keluarga mereka kearah yang lebih baik. Sepanjang program ini, para peserta diberikan latihan teori dan praktikal serta diberikan bimbingan menyeluruh untuk mereka menceburi dunia usahawan dengan lebih baik. Peserta juga didedahkan dengan keperluan dan kepentingan perlindungan takaful, yang bukan hanya untuk diri dan keluarga mereka sahaja malahan untuk perniagaan yang sedang atau akan mereka bina. Peluang-peluang pekerjaan sebagai perunding Takaful juga turut dikongsikan disepanjang program ini dilangsungkan.
 
Selain itu, program ini turut mendapat sokongan dan sumbangan daripada Zurich Takaful Malaysia Berhad yang merupakan ahli MTA, dan juga sumbangan myZakat daripada ahli-ahli AIBIM. Melalui program ini juga, para peserta akan terus dipantau dan dibimbing secara berkala dalam tempoh enam bulan akan datang, bagi mengekalkan momentum positif untuk meningkatkan sosio ekonomi serta daya tahan perusahaan atau perniagaan mereka. 
 
Di samping itu, usaha ini juga merupakan salah satu inisiatif yang sejajar dengan matlamat Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Pelan Sektor Kewangan (FSB) 2022-2026 sebagai panduan berasaskan prinsip untuk memajukan rangkuman kewangan di Malaysia.
 
MTA juga menekankan pendidikan literasi kewangan selaras dengan Pengantaraan Berasaskan Nilai untuk Takaful (VBIT) yang juga termasuk dalam memperkasakan Rangka Kerja Rangkuman Kewangan (FIF) 2023-2026 terhadap masyarakat. Rangkuman kewangan yang dimaksudkan adalah merujuk kepada nilai inklusiviti, iaitu prinsip utama dalam agenda pembangunan sosio ekonomi negara bagi memastikan semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil pertumbuhan dan pembangunan ekonomi tanpa mengira jantina, etnik kaum, status sosio ekonomi dan lokasi penempatan penduduk.
 
MENGENAI PERSATUAN TAKAFUL MALAYSIA (MTA)
Persatuan Takaful Malaysia (MTA) telah ditubuhkan pada November 2002 di bawah Akta Pertubuhan 1966. Ia merupakan persatuan perdagangan yang mewakili semua 18 pengendali Takaful dan Retakaful berlesen di negara ini. Objektif dan kuasa MTA adalah untuk menggalakkan kepentingan ahli-ahlinya untuk mengetuai dan mengawasi pengawalseliaan kendiri dalam industri Takaful. Maklumat lanjut mengenai MTA boleh didapati di laman sesawang: www.takaful4all.org.my
 
SUMBER: PERSATUAN TAKAFUL MALAYSIA (MTA)
 
UNTUK MAKLUMAT LANJUT SILA HUBUNGI:
Nama: Puan Siti Nor Kamariah Ishak
Ketua, Komunikasi Korporat
Tel: 03-2031 8160
Faks: +603-2031 8170

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment