Thursday, November 21, 2019

KESEJAHTERAAN KANAK-KANAK TANGGUNGJAWAB BERSAMA

PUTRAJAYA, 20 Nov (Bernama) -- “Kesejahteraan Kanak-Kanak Tanggungjawab Bersama’ diangkat sebagai tema Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2019. Ia selari dengan tema Hari Kanak-Kanak  Antarabangsa iaitu ‘For Every Child A Childhood’,  yang akan disambut pada 20 November ini, dengan menekankan kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak di seluruh dunia.

Sehubungan itu, masyarakat perlu memberi perlindungan, kebajikan dan kesejahteraan demi masa depan kanak-kanak kerana ia adalah tanggungjawab bersama. Ini termasuk memastikan kanak-kanak sihat dan cerdas selain mematuhi empat perkara dalam Convention on the Right of Children iaitu Hak kepada Kehidupan, Perlindungan, Perkembangan dan Penyertaan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM memandang serius isu penderaan, pengabaian, pembuangan bayi serta eksploitasi kanak-kanak yang menyaksikan kanak-kanak sering menjadi mangsa keadaan.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan kanak-kanak perlu diberikan pemeliharaan dan perlindungan sekiranya terdedah kepada bahaya atau ancaman. JKM telah laksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan kesejahteraan kanak-kanak termasuk:

i. Bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan bantuan dengan kadar RM100 seorang atau maksimum RM400 sekeluarga;

ii. Bantuan Anak Pelihara bagi membantu kanak-kanak yatim piatu, tiada saudara mara untuk terus berada dalam masyarakat bersama-sama keluarga pelihara;

iii. Perkhidmatan kaunseling bagi memberi bimbingan dan khidmat nasihat kepada mereka yang masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka;

iv. Kanak-kanak yang tidak dapat dijaga oleh ibu bapa atau penjaga atas sebab-sebab tertentu diberi perlindungan di Rumah Kanak-Kanak di seluruh negara;

vi. Menubuhkan Majlis Kebangsaan Bagi Kanak-Kanak yang berperanan menasihati dan membuat syor kepada kerajaan berhubung isu perlindungan, penjagaan, pemulihan, pembangunan dan penyertaan kanak-kanak di peringkat kebangsaan, serantau dan antara bangsa;

vii. Mewujudkan Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) bagi  menyelaraskan perkhidmatan setempat kepada keluarga dan kanak-kanak. Sehingga kini terdapat 126 PPKK di seluruh Malaysia;

viii. Mewujudkan 149 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara, yang menjalankan seminar, kelas tuisyen, bengkel, motivasi, bimbingan serta kaunseling;

ix. Menubuhkan Majlis Perwakilan Kanak-Kanak (MPKK) yang bertanggungjawab menyalurkan pandangan kepada kerajaan berhubung aspirasi dan kehendak kanak-kanak di Malaysia seiring dengan Hak Penyertaan Kanak-Kanak di bawah CRC;

x. Menggalakkan penubuhan TASKA Komuniti sebagai program pencegahan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak. Sehingga kini 39 Taska Komuniti ditubuhkan;

xi. Perkhidmatan 24 jam sehari Talian Kasih15999 yang menyediakan kemudahan kepada masyarakat untuk membuat laporan pada bila-bila masa; dan

xii. Membangunkan Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual terhadap kanak-kanak dalam daftar kanak-kanak bagi tujuan membuat semakan kes-kes pelaku seksual kanak-kanak.

JKM turut bekerjasama dengan badan kerajaan dan bukan kerajaan serta pertubuhan NGO bagi menjalankan program Sahabat B.I.J.A.K berbentuk advokasi bertujuan: 

i. Menyebar luas maklumat berkaitan keselamatan kanak-kanak khususnya pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah;

ii. Memberi kesedaran kepada ibubapa, penjaga, guru-guru serta masyarakat tentang  pentingnya menjaga dan mengutamakan keselamatan kanak-kanak; dan

iii. Memberi pendedahan literasi undang-undang kepada semua pihak berkaitan hukuman yang dikenakan kepada pesalah kanak-kanak serta kanak-kanak yang terlibat dengan salah laku.

SUMBER : Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=12822

No comments:

Post a Comment