Saturday, February 1, 2020

LHDNM TERIMA KEHADIRAN 7,352 PENGUNJUNG DI HARI BERTEMU PELANGGAN LHDNM

CYBERJAYA, 31 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke program Hari Bertemu Pelanggan LHDNM yang diadakan pada hari Rabu setiap minggu semenjak 08 Januari 2020. Sehingga kini, seramai 7,352 pelanggan telah hadir mendapatkan khidmat nasihat semasa Hari Bertemu Pelanggan LHDNM tersebut.

Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) ini bertujuan memudahkan urusan percukaian orang awam dan menjadi platform tambahan kepada MoF dan LHDNM untuk mendengar serta mencari penyelesaian sebarang permasalahan dan aduan berkaitan dengan cukai pendapatan sama ada daripada pembayar cukai, ejen cukai, badan-badan profesional atau para akauntan. Sebanyak 16 kaunter beroperasi pada setiap hari Rabu di Kaunter Setempat Tingkat 1, Blok 8A, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, Kuala Lumpur bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Antara perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan adalah Kaunter Pembayar Cukai Individu (sumber pendapatan penggajian dan perniagaan), Kaunter Pembayar Cukai Syarikat, Kaunter Pembayar Cukai Tidak Bermastautin (Non-Resident), Kaunter Cukai Keuntungan Harta Tanah (CKHT), Kaunter Duti Setem, Kaunter Khidmat Nasihat Guaman Cukai, Kaunter Pusat Bayaran Kuala Lumpur (PBKL),  Kaunter Bantuan Sara Hidup Rakyat (BSH) dan Kaunter Khas Kementerian Kewangan (MoF).

Dengan kehadiran pegawai kanan dari Pejabat Menteri Kewangan dan LHDNM di Hari Bertemu Pelanggan ini, adalah diharap segala permasalahan pembayar cukai dan orang ramai berhubung isu-isu percukaian langsung dapat diselesaikan dengan lebih mudah, cepat dan mengikut saluran yang tepat serta dalam masa yang sama mengeratkan lagi hubungan pembayar cukai dan LHDNM demi kemakmuran negara.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara).

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=13029

No comments:

Post a Comment