Thursday, February 20, 2020

SEMINAR PERCUKAIAN LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA DAN PERSEKUTUAN MAJIKAN-MAJIKAN MALAYSIA 2020

SUBANG JAYA, 19 Feb (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dengan kerjasama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) akan menganjurkan Seminar Percukaian yang bermula pada hari ini di Hotel Dorsett Grand, Subang Jaya dan dijangka berakhir pada 15 April 2020 di 14 lokasi di seluruh negara.

Tujuan dan objektif seminar ini dianjurkan adalah untuk:

1. Meningkatkan kesedaran majikan mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam hal ehwal percukaian.
2. Mendidik majikan mengenai liabiliti cukai dan hutang di bawah Akta-Akta yang berkaitan.
3. Membimbing dan membincangkan isu-isu berkenaan Potongan Cukai Bulanan (PCB).
4. Membina jaringan hubungan dalam kalangan peserta dengan pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia.


Antara topik-topik yang akan dibincangkan adalah seperti yang berikut:

1. Belanjawan 2020: Kesannya Terhadap Majikan dan Pekerja
2. Potongan Cukai Bulanan (PCB): Tanggungjawab Majikan dan Pekerja
3. Kesilapan yang lazim dilakukan oleh majikan dan pekerja dalam urusan cukai pendapatan.


Majlis perasmian seminar pada 19 Februari 2020 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan turut dihadiri oleh YBhg. Tan Sri Dato’ Azman Shah Haron, Presiden MEF.

Dato’ Sri Dr. Sabin bin Samitah dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada MEF atas sokongan yang diberikan kepada LHDNM melalui penganjuran seminar sebegini dalam memastikan pendidikan dan kesedaran cukai dalam kalangan majikan serta pekerja dapat terus ditingkatkan. Selain itu beliau turut berharap agar setiap majikan dapat memastikan Penyata Oleh Majikan untuk saraan Tahun 2019 (Borang E 2019) dikemukakan kepada LHDNM dalam tempoh yang telah ditetapkan menurut Subseksyen 83(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967), iaitu selewat-lewatnya pada 31 Mac 2020. Majikan yang mempunyai masalah dalam menyediakan Borang E ini boleh mendapatkan khidmat nasihat LHDNM untuk memastikan semua maklumat yang diisytiharkan adalah tepat dan teratur.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDNM di www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara).

Dikeluarkan Oleh:
Bahagian Komunikasi | Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia

http://mrem.bernama.com/mrembm/viewsm.php?idm=13089

No comments:

Post a Comment