Tuesday, May 12, 2020

Syarikat perlu tingkatkan piawaian kebersihan selepas COVID-19

KUALA LUMPUR, 12 Mei -- Syarikat yang kembali beroperasi susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digesa meningkatkan piawaian kebersihan di premis dan menyediakan produk-produk kebersihan untuk pekerja mereka.

Penyedia perkhidmatan kawalan makhluk perosak Rentokil Initial Sdn Bhd berkata syarikat perlu mengadaptasi normal baharu dengan antara lain melakukan proses nyahkuman secara berkala, bukan hanya ketika berlaku wabak.

“Melakukan disinfeksi pada permukaan seperti meja dan kerusi serta kawasan-kawasan yang kerap disentuh seperti suis lampu dan pemegang pintu dapat mengurangkan risiko pencemaran silang, sekali gus mengecilkan peluang penularan wabak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya pemilik perniagaan juga perlu menuruti prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menuntut mereka menyediakan pensanitasi tangan di kawasan guna ramai seperti laluan masuk dan tandas.

Memakai pelitup separuh muka adalah satu kaedah pencegahan yang baik memandangkan situasi di pejabat menyukarkan amalan jarakan sosial, katanya.

“Kaedah terbaik untuk menangani masalah ini ialah melaksanakan sistem penggiliran iaitu mengehadkan jumlah pekerja yang datang ke pejabat pada satu-satu masa dan mereka yang perlu berada di premis pula harus berusaha mengekalkan jarakan sosial.

“Jarakan sosial ini bukan sahaja di pejabat tetapi juga dalam kehidupan sehari-hari dan seboleh-bolehnya mengurangkan keberadaan di tempat ramai orang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment