Monday, June 12, 2023

KOLABORASI LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (HASIL) DAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH ANJUR PROGRAM HASIL YOUR TAX BUDDY DISAMBUT MERIAH

KOTA KINABALU, 12 Jun (Bernama) -- Pendekatan utama (A) Awareness,  (E) Education dan (S) Services (AES) terus diperkasa dalam kalangan generasi muda, kali ini melalui Program HASiL Your Tax Buddy (HYTB@IPT). Program yang dianjurkan secara kerjasama antara Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) Sabah dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini disambut meriah dengan penyertaan hampir 100 orang peserta dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi dari Fakulti Pascasiswazah, UMS.
 
Program yang masuk tahun kedua pelaksanaan ini selaras dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi (IPT) 2021-2025 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).Perasmian program HYTB@IPT telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Wan Ramiza binti Wan Ghazali, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) serta turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Hajam bin Lajah Alam, Pengarah Negeri HASiL Sabah dan YBhg. Profesor Datuk Dr. Kasim bin Hj. Mansor, Naib Canselor UMS. 
 
Program ini telah dibahagikan kepada dua segmen iaitu:
 
i. Sesi Segmen Pocket Talk - Sesi taklimat perkongsian maklumat percukaian berkenaan fungsi dan peranan HASiL dalam membangunkan Malaysia dan layanan cukai kepada peniaga menerusi perkongsian topik “Siswa Niaga Bijak Cukai”.
 
ii. Sesi Taxplorace - Peserta dibahagikan kepada 20 kumpulan dan perlu menyelesaikan permainan uji minda yang berkonsepkan pengetahuan am, kewarganeraan dan percukaian dalam tempoh masa yang ditetapkan. Antara permainan yang diketengahkan adalah berkonsepkan kebudayaan dan warisan Sabah seperti magunatip, sumpit belon dan melastik.
 
YBrs. Puan Wan Ramiza binti Wan Ghazali dalam ucapannya berkata, HASiL melihat penganjuran program ini sebagai satu langkah positif untuk melahirkan ramai generasi muda yang cakna cukai selari dengan peredaran masa kini yang lebih tertumpu kepada penggunaan media sosial untuk menjana pendapatan secara dalam talian seperti menjadi pempengaruh media (media influencer).  
 
Tambahan pula, peranan yang dimainkan oleh generasi muda ini sangat penting dan mampu bertindak sebagai duta HASiL dalam menyampaikan maklumat percukaian seterusnya meningkatkan tahap pematuhan cukai secara sukarela dalam kalangan masyarakat di Malaysia.
 
Para pemenang program HYTB@IPT ini membawa pulang wang tunai berjumlah RM500 (Johan), RM350 (Naib Johan) dan RM250 (Tempat Ketiga) berserta hamper setiap satu.
 
Semoga momentum dan kolaborasi seperti ini terus dikekalkan dalam usaha HASiL untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan dan tanggungjawab membayar cukai serta menjadikan sistem percukaian negara sebagai aset komuniti yang perlu dipelihara demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat. 
 
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada kami melalui:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/public. 

KOLABORASI LEMBAGA HASIL DALAM NEGERI MALAYSIA (HASIL) DAN UNIVERSITI MALAYSIA SABAH ANJUR PROGRAM HASIL YOUR TAX BUDDY DISAMBUT MERIAH

No comments:

Post a Comment