Saturday, August 12, 2017

400 Pelajar Sertai Bengkel Mini KLESF Di Sarawak

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) --Kira-kira 400 pelajar daripada 14 sekolah di Sarawak menyertai bengkel mini Fiesta Kejuruteraan dan Sains Kuala Lumpur (KLESF) peringkat negeri itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Samarahan hari ini.

Kumpulan Industri Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dalam kenyataan di sini hari ini berkata bengkel itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, bagi menggalakkan pelajar lebih memahami bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Antara pengisian menarik semasa program berkenaan adalah sesi bersama Penasihat Sains kepada Perdana Menteri Prof Tan Sri Zakri Abdul Hamid yang bertajuk 'Mengapa saya memilih untuk menjadi saintis' menurut kenyataan itu.

Turut diadakan adalah program Gambar Ceria, Pengenalan kepada Arduino, Hello dari Raspberry Pi, Roket Kertas dan Perlumbaan Makmal, menurut MIGHT.

Bengkel mini KLESF adalah satu daripada usaha perkongsian kerajaan dan swasta yang melibatkan kerajaan pusat dan negeri serta pihak industri dan akademik bagi menaik taraf penguasaan sains dan memperkasakan sains dan teknologi di negara ini terutama dalam kalangan pelajar luar bandar.

Menurut kenyataan itu, Kota Samarahan adalah lokasi ketiga penganjuran bengkel mini itu selepas Teluk Intan, Perak dan Sungai Besar, Selangor.

Nancy dalam ucapannya berkata pelbagai pihak perlu bersama-sama menyokong usaha menggalakkan pembelajaran dan peluang kerjaya dalam bidang STEM selain berkongsi maklumat dan pengalaman berkaitan projek-projek dan kurikulum tambahan dalam bidang itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment