Wednesday, August 30, 2017

CRM, NPRA Tandatangani Perjanjian Biasiswa Latihan Fasa 1

PUTRAJAYA, 30 Ogos (Bernama) -- Satu perjanjian biasiswa antara pegawai Clinical Research Malaysia (CRM), Kementerian Kesihatan dan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk latihan Fasa 1 ditandatangani hari ini.

Dalam kenyataannya CRM berkata pihaknya menaja dua pegawai regulatori NPRA, Tang Sia Chin dan Nur Atiqah Kamal Rodin mengikuti pengajian lepasan ijazah di Manchester University, United Kingdom (UK) pada September 2017.

Katanya, setelah selesai mengikuti kursus selama setahun, Tang dan Nur Atiqah akan dianugerahkan Ijazah Sarjana dalam bidang perubatan kanser eksperimen.

"Semasa mengikuti kursus itu, kedua-dua calon akan bertugas di unit percubaan klinikal kanser fasa 1 terkemuka dan akan mempelajari secara terperinci reka susun dan penyampaian pengajian klinikal Fasa 1 serta memahami data praklinikal yang diperlukan sebelum sesuatu program klinikal boleh dimulakan," katanya.

CRM berkata penajaan itu meletakkan Projek Realisasi Fasa 1 (P1RP) ke tahap lebih tinggi dalam usahanya untuk membangunkan ekosistem penyelidikan klinikal lengkap di Malaysia.

"Penglibatan Malaysia dalam semua fasa pembangunan ubat-ubatan membolehkan pemindahan pengetahuan dan teknologi dibuat kepada rakyat Malaysia," kata kenyataan itu.

No comments:

Post a Comment